SINGAPURA – Isteri kepada Presiden pertama Singapura, Noor Aishah Salim, meninggal dunia pada usia 91 tahun di Hospital Besar Singapura, hari ini.
Berita duka pemergian isteri Allahyarham Yusof Ishak itu dikongsikan Perdana Menteri Singapura, Lawrence Wong menerusi hantaran di Facebook.
Beliau melahirkan rasa sedih dan dukacita atas pemergian tokoh berkenaan.
“Dengan penuh kelembutan dan kekuatan yang tenang, beliau sentiasa berada di sisi Yusof Ishak dan memberikan sokongan teguh sepanjang tempoh mencabar ketika negara ini sedang dibina,” katanya pada catatan di laman sosial itu.
Wong turut menzahirkan penghargaan terhadap sumbangan yang dicurahkan oleh Allahyarhamah dalam bidang kebajikan dan khidmat masyarakat.
“Di luar Istana, beliau mendedikasikan diri dalam perkhidmatan masyarakat menerusi pertubuhan seperti Palang Merah Singapura dan Persatuan Wanita Islam Singapura (PPIS).
“Kebaikan dan sumbangan beliau menyentuh kehidupan ramai – semoga legasi beliau terus menjadi inspirasi kepada kita semua,” ujar.
Noor Aishah Dilahirkan di Selangor pada 1933 dan berkahwin dengan Yusof pada 1949 ketika berusia 16 tahun.
Sepanjang perkahwinannya pasangan itu telah dikurniakan tiga orang anak. – MalaysiaGazette