KUALA LUMPUR – Kesatuan-Kesatuan Pekerja Pakaian Seragam Pos Malaysia tampil mempertahankan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Pos Malaysia Berhad, Charles Brewer berhubung kontroversi pakaian seragam syarikat itu baru-baru ini.
Dalam satu kenyataan bersama, kesatuan itu berkata, kenyataan Brewer dalam isu tersebut tidak bermaksud untuk merendahkan atau memperlekehkan mana-mana kakitangan Pos Malaysia.
Jelasnya, pihak kesatuan telah mendapatkan penjelasan Brewer sehari selepas insiden itu tular di media sosial dan mendapati berlaku salah faham dengan Brewer sendiri mengakui kesilapan tersebut.
Sehubungan itu, katanya, pihak kesatuan menyeru supaya isu tersebut tidak lagi diperbesar-besarkan sehingga menimbulkan salah faham terhadap niat sebenar Brewer.
“Sepanjang tempoh perkhidmatan beliau sebagai Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan, beliau telah menunjukkan komitmen yang tinggi dalam mendekati kakitangan di pelbagai peringkat serta berinteraksi secara langsung dengan ahli-ahli kesatuan dan kakitangan, termasuk turun padang bagi memahami serta menyelesaikan isu-isu yang dihadapi.
“Beliau juga mempunyai hubungan yang amat baik dengan pihak Kesatuan yang sentiasa harmoni serta terbuka tanpa sebarang pertikaian.
“Justeru itu, pihak Kesatuan berdiri teguh menyokong kepimpinan beliau,” kata kenyataan itu, hari ini.
Kenyataan bersama itu dikeluarkan Kesatuan Pekerja Pakaian Seragam Pos Malaysia (UPUS); UPUS Sarawak dan KEPPSES Sabah.

Sementara itu, mengulas mengenai isu pakaian seragam yang menyebabkan kontroversi tersebut, kesatuan tersebut berkata, semua kakitangan Pos Malaysia telah dimaklumkan bahawa pakaian seragam baharu akan dibekalkan.
Bagaimanapun, katanya, berlaku kelewatan tahun ini disebabkan proses penambahbaikan daripada segi material dan kualiti yang digunakan supaya lebih sesuai dan selesa untuk dipakai oleh kakitangan.
Sebagai penyelesaian sementara bagi mengatasi kelewatan itu, jelasnya, pihak Pengurusan Operasi akan mengedarkan jersi Pos Malaysia kepada anggota-anggota Kesatuan yang terlibat, dan proses pengedaran tersebut akan dilaksanakan secara bersama di antara pihak Kesatuan dan Pengurusan.
“Di samping itu, demi menjaga keselamatan kakitangan di unit penghantaran, Pos Malaysia juga telah memberi komitmen untuk menambah keperluan keselamatan seperti kasut keselamatan dan sarung tangan kepada posmen serahan,” katanya.
Sebelum ini, Brewer dikecam pengguna sosial susulan reaksinya terhadap aduan berkenaan pakaian seragam yang rosak oleh seorang kakitangan Pos Malaysia yang disifatkan tidak profesional yang tular di dalam media sosial.
Bagaimanapun, Brewer kemudiannya memohon maaf kepada kakitangan yang terkesan serta kepada mana-mana pihak yang mungkin tersinggung dengan kenyataan itu. – MalaysiaGazette