KUALA LUMPUR – Seorang jururawat persendirian didenda RM4,000 oleh Mahkamah Majistret di sini hari ini selepas mengaku menipu seorang wanita membabitkan bayaran RM10,700 bagi khidmat peguam yang tidak wujud.
Majistret M. S. Arunjothy memerintahkan Norelyyani Zakharudin, 36, dipenjara lima bulan jika gagal membayar denda.
Norelyyani didakwa memperdayakan Nor Amyliana Zulkifli, 29, dengan mendorong mangsa membuat bayaran bagi mendapatkan khidmat peguam yang tidak wujud berjumlah RM10,700 di UTC Keramat Mall, Wangsa Maju dari 30 Okt hingga 10 Nov 2023.
Dia didakwa mengikut Seksyen 417 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman maksimum penjara lima tahun atau denda atau kedua-duanya.
Terdahulu, peguam Muhd Akmal Amsyar Muhamad Ali memohon hukuman ringan atas alasan anak guamnya seorang ibu tunggal yang menjaga tiga anak berusia 17 tahun, 14 tahun dan 11 tahun serta ibu yang sakit.
“Ini juga merupakan kesalahan pertama tertuduh dan dia kesal dengan perbuatannya,” kata beliau.
Timbalan Pendakwa Raya Vivi’Asnita Zaina’Larifin pula memohon hukuman setimpal sebagai pengajaran kepada tertuduh selain mengambil kira fakta bahawa kesalahan itu telah menyebabkan mangsa kerugian. – BERNAMA