Saifuddin Nasution

PUTRAJAYA – Kementerian Dalam Negeri (KDN) menjalankan siasatan berhubung satu video yang memaparkan Jalur Gemilang tidak lengkap pada sebuah ekspo bayi di ibu negara baru-baru ini.

Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata aspek siasatan akan dilaksanakan sama seperti yang dibuat dalam siasatan isu penyiaran ilustrasi Jalur Gemilang tidak lengkap pada muka hadapan sebuah akhbar.

“Saya ambil peluang ini untuk mengingatkan semua pihak bahawa bendera ini adalah lambang identiti negara yang membawa pelbagai makna dan maksud di sebaliknya.

“Jadi, sebarang bentuk kelalaian, kecuaian, kealpaan yang boleh mengundang rasa resah dalam kalangan masyarakat sebaik-baiknya (wajib) dielakkan,” katanya pada sidang media selepas perhimpunan bulanan KDN di sini hari ini.

Baru-baru ini, tular di media sosial paparan Jalur Gemilang di belakang pentas gerai sebuah syarikat makanan bayi dari Singapura pada pameran produk bayi di Pusat Pameran Mid Valley, Kuala Lumpur dilaporkan tiada simbol bulan sabit sehingga mencetuskan kritikan orang ramai.

Artikel berkaitan:

Saifuddin Nasution ketika mengulas siasatan terhadap Sin Chew Daily berkata siasatan terhadap akhbar berkenaan akan dilaksanakan dengan penuh tanggungjawab dan kebijaksanaan berdasarkan undang-undang sedia ada.

“Respons (Sin Chew Daily) kita terima semalam dan kami akan teliti dulu dan kemudian kami mengambil tindakan ke atas akhbar itu,” katanya.

Pada 17 April, media melaporkan Ketua Editor dan Timbalan Ketua Penyunting Sin Chew Daily ditahan bagi membantu siasatan berhubung isu penyiaran ilustrasi Jalur Gemilang yang tidak lengkap di muka hadapan akhbar itu.

Ketua Polis Negara Tan Sri Razarudin Husain mengesahkan kedua-dua individu terbabit ditahan untuk siasatan lanjut, tetapi dibebaskan beberapa jam selepas itu.

Sebelum itu, akhbar berbahasa Cina itu dilaporkan menyiarkan ilustrasi Jalur Gemilang yang tidak lengkap di muka hadapannya sempena liputan lawatan negara Presiden China Xi Jinping ke Malaysia baru-baru ini.

Isu itu mendapat kritikan pelbagai pihak termasuk Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim yang bertitah supaya pihak pengurusan dan jabatan pengarang akhbar berkenaan lebih peka serta menyemak sesuatu bahan terlebih dahulu sebelum dicetak untuk siaran.

Berikutan itu, akhbar berkenaan tampil memohon maaf dan menjelaskan bahawa ia adalah kesilapan teknikal yang tidak disengajakan.

— BERNAMA

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here