PUTRAJAYA – Meskipun beberapa nama besar tewas dalam pemilihan peringkat cabang dalam PKR namun ia tidak dilihat ada usaha tertentu untuk menyingkirkan pemimpin parti berstatus menteri ataupun timbalan menteri.
Pandangan itu dilontarkan Ketua Cabang PKR Tanjong Malim, Chang Lih Kang yang tidak nampak adanya trend seperti itu dalam pemilihan parti kali ini.
“Saya rasa dalam pemilihan ada orang menang ada orang kalah, itu biasalah. Cuma pemilihan itu peringkat cabang sahaja. So bulan depan kita ada pemilihanlah (peringkat) pusat…kita akan tengoklah.
“Untuk saya, kalah menang itu bukan masalah…yang penting kita kena pastikan sistem pemilihan itu adalah adil saksama. Orang ada keyakinan…saya rasa itu adalah paling penting,” katanya yang berjaya mengekalkan jawatannya pada Pemilihan PKR 2025 di peringkat cabang.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menyaksikan Majlis Menandatangani Perjanjian (MoU) antara Central Corporate Engineering Sdn Bhd (CCE) dan Oasis Xtract Sdn Bhd di sini hari ini.
MoU itu bagi membuka lembaran baharu dalam usaha Malaysia ke arah pembangunan teknologi hijau dan mampan.
Dalam pada itu, Lih Kang berkata, apa yang paling penting anggota parti perlu memiliki keyakinan terhadap sistem pemilihan kerana itu merupakan perkara pokok.
Untuk rekod, beberapa pemimpin parti berjawatan menteri tewas dalam pemilihan yang berlangsung baru-baru ini.
Antaranya Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam, Nik Nazmi Nik Ahmad yang kalah kepada Afdlin Shauki, bagi persaingan ketua di Setiawangsa, selain Timbalan Menteri Perpaduan K. Saraswathy yang juga naib presiden dalam pemilihan Bukit Bintang.
Timbalan Menteri Belia dan Sukan Adam Adli pula tewas dalam perebutan timbalan ketua Hang Tuah dan terbaru, Timbalan Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air, Akmal Nasrullah Mohd Nasir tumpas dalam persaingan di Johor Bahru.
Pemilihan bagi pimpinan PKR di peringkat Cabang, Wanita Cabang dan AMK Cabang ditetapkan bermula 11 hingga 20 April.
Pemilihan bagi jawatan Majlis Pimpinan Pusat (MPP), Majlis Pimpinan Wanita Pusat (MPWP) dan Majlis Pimpinan Angkatan Muda Keadilan Pusat (MPAMKP) parti berkenaan pula akan diadakan pada 24 Mei. – MalaysiaGazette
Ni menteri apa? Jabatan apa? Apa jasa kepada negara?
Minta lupuskan kementerian ni sebab takde contribution kepada negara? Mengabiskan duit bayar gaji puluhan ratusan ribu je?