JAKARTA – Kerajaan Malaysia menyambut baik keputusan yang dicapai mengenai isu pencerobohan nelayan di sempadan perairan kedua-dua negara.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, ia melibatkan perjanjian persefahaman antara kedua-dua negara yang ditandatangani dua tahun lalu berkaitan perairan yang dipertikaikan.

“Sejak perlaksanaan perjanjian persefahaman berkenaan angka penangkapan itu telah menurun begitu drastik dan ini tentunya sesuatu yang amat dihargai oleh kerajaan Malaysia.

“Bagi pihak nelayan-nelayan di Malaysia kita ucapkan terima kasih namun kita minta agar nelayan-nelayan daripada Malaysia terus menggunakan Pengesan Lokasi Individu (PLB) dan tidak memadamkan bila berada di Selat Melaka kerana pihak berkuasa kita akan memantau kedudukan atau pun lokasi kapal-kapal nelayan itu agar apabila berlaku kesilapan berada di perairan Indonesia akhirnya dapat diberikan amaran untuk berbalik ke perairan Malaysia,” katanya dalam sidang media hari ini.

Ahmad Zahid mengakhiri lawatan rasmi selama tiga hari dengan mengadakan pertemuan dengan Presiden Indonesia, Prabowo Subianto di Istana Merdeka di sini petang tadi.

Kedua-dua pemimpin itu mengambil kira-kira sejam 45 minit untuk membincangkan beberapa perkara antaranya mengenai sijil halal, pendidikan dan status mengenai Palestin di Gaza dengan dihadiri Duta Besar Malaysia ke Indonesia, Datuk Syed Mohamad Hasrin Tengku Hussin.

Dalam pada itu, Ahmad Zahid berkata, disebabkan perjanjian itu kapal yang memasuki perairan luar akan diarahkan pulang ke perairan masing-masing.

Malah perkara itu perlu diambil oleh kedua-dua negara bagi menjaga hubungan baik antara kedua-dua negara.

“Pihak agensi penguatkuasaan di Indonesia akan memberitahu agar kapal-kapal nelayan itu pulak dan berada di perairan Malaysia begitulah juga agensi penguatkuasa Malaysia seperti APMM ataupun Jabatan Perikanan Malaysia ataupun pihak Angkatan Laut Malaysia akan mengambil tindakan yang sama.

“Mereka akan memberitahu nelayan-nelayan Indonesia untuk pulang ke perairan dan Presiden Indonesia menyatakan perkara itulah yang harus diberikan penekanan agar hubungan baik antara kedua negara,” katanya lagi.

Keputusan ketiga yang dicapai dalam pertemuan itu adalah mengenai usaha untuk memperluaskan pasaran dalam bidang pendidikan teknikal kejuruteraan dan juga profesional.

Ahmad Zahid turut merakamkan ucapan terima kasih kepada Sistem Perkhidmatan Global Pendidikan Malaysia (EMGS) serta Universiti Kuala Lumpur (UniKL) yang giat mempromosi institusi pengajian tinggi untuk pembelajaran pelajar luar negara.

“Saya maklumkan kepada presiden dan wakil presiden tentang usaha-usaha Malaysia untuk mengajak lebih ramai pelajar-pelajar Indonesia untuk belajar di Malaysia,” ujarnya.

Dalam perbincangan sama, Ahmad Zahid dan Pravowo juga turut mencapai kata sepakat mengenai pendirian bersama situasi terkini di Gaza.

Beliau berkata, kedua-dua negara bersetuju untuk mengesa genjatan senjata secara kekal di kawasan bergolak itu.

“Genjatan bersenjata secara kekal memerlukan sokongan daripada badan-badan antarabangsa dan kita juga bersama-sama meminta masyarakat antarabangsa untuk menentukan bahawa genjatan senjata secara berkekalan dapat dilakukan.

“Pembangunan semula di Gaza dan Palestin keseluruhannya dapat dilakukan oleh negara-negara sahabat terutamanya Malaysia, Indonesia dan Jepun yang telah memberikan komitmen di samping beberapa negara lain dan juga masyarakat antarabangsa,” kata Ahmad Zahid. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here