Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi mengadakan kunjungan ke ibu pejabat Badan Pengurusan Bencana Nasional (BNPB) Indonesia dan AHA Centre di Jakarta.

JAKARTA – Tindakan tepat dan pantas Pusat Penyelarasan Bantuan Kemanusiaan ASEAN (AHA Centre) dalam menangani kesan gempa bumi yang melanda Myanmar hujung bulan lepas amat dihargai Malaysia.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, sebagai Pengerusi ASEAN 2025, Malaysia amat menyambut baik pengaktifan mekanisme tindak balas di bawah Prosedur Operasi Standard bagi Pengaturan Siap Sedia Serantau dan Penyelarasan Bantuan Bencana Bersama dan Tindak Balas Kecemasan (SASOP).

Katanya, langkah itu juga  memudahkan pergerakkan aset serta sokongan serantau untuk tujuan bantuan kemanusiaan.

Malah, menurut beliau, penyelarasan yang pantas dan cekap membuktikan peranan penting AHA Centre dalam rangka kerja tindak balas bencana kolektif ASEAN.

“Perpaduan serantau yang ditunjukkan oleh semua negara anggota ASEAN, melalui penempatan pasukan mencari dan menyelamat, bantuan kemanusiaan dan bekalan penting, jelas membuktikan semangat ASEAN yang kuat,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas mengadakan kunjungan ke ibu pejabat Badan Pengurusan Bencana Nasional (BNPB) Indonesia dan AHA Centre lewat petang semalam.

Gempa bumi dengan magintud 7.7 yang melanda Myanmar pada 28 Mac lalu telah menyebabkan kemusnahan besar terhadap infrastruktur dan mengorbankan lebih 3,000 orang selain gegaran turut dirasai negara berhampiran termasuk Thailand.

Dalam pada itu, Ahmad Zahid turut menegaskan kepentingan bagi negara-negara ASEAN untuk berpegang kepada prinsip “One ASEAN, One Response” sebagai komitmen yang boleh mencerminkan satu tindakan bersama dalam gabungan negara ASEAN dalam menghadapi bencana.

Ahmad Zahid yang mengetuai lawatan rasmi ke Jakarta turut menzahirkan rasa kagum dengan kesiapsagaan BNPB dan percaya banyak perkara yang boleh dipelajari oleh Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) untuk menyelaras gerak kerja pengurusan kecemasan.

“Walaupun kita hanya ada satu SMART Team yang akan menangani semua jenis bencana tetapi BNPP mempunyai Smart Team di semua sektor seperti kebakaran, banjir, gempa bumi, letusan gunung berapi dan kemalangan di laut,” katanya.

Lawatan tiga hari Ahmad Zahid sampai ke kemuncaknya apabila beliau dijadualkan mengadakan pertemuan dengan Presiden Prabowo Subianto di Istana Merdeka, petang nanti. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here