Kamal (dua dari kiri) ketika ditemui pemberita selepas mengetuai Operasi Gaji Minimum JTKSM di Ayer Keroh, Melaka, hari ini yang menyasarkan pekerja syarikat kawalan keselamatan.

MELAKA – Jabatan Tenaga Kerja Semenanjung Malaysia (JTKSM) mengesan masih ada dalam kalangan 35 syarikat kawalan keselamatan di seluruh negara gagal mematuhi Perintah Gaji Minimum RM1,700 yang telah berkuat kuasa mulai 1 Februari lalu.

Ketua Pengarahnya, Kamal Pardi berkata, majikan yang melakukan kesalahan itu boleh didenda di bawah Akta Majlis Perundingan Gaji Negara 2011 (Akta 732).

Menurutnya, JTKSM di bawah Kementerian Sumber Manusia (KSM) sebelum ini menerima banyak aduan daripada pekerja syarikat kawalan keselamatan mendakwa mereka masih lagi dibayar pada kadar gaji minimum pokok sebelum ini RM1,500 sebulan.

“Sebab itu hari ini kita adakan operasi serentak memeriksa 35 syarikat kawalan keselamatan di seluruh negara dan kita dapati masih ada syarikat bayar gaji minimum kadar lama iaitu RM1,500 sebulan atau RM2,000 lebih termasuk kerja lebih masa.

“Saya harap syarikat ini dapat segera patuhi undang-undang Perintah Gaji Minimum RM1,700 dan bayar tunggakan gaji ini bermula gaji bulan Mac dan April,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas mengetuai Operasi Gaji Minimum JTKSM di Ayer Keroh, di sini, hari ini.

Mengulas lanjut Kamal berkata, sepanjang tahun lalu sehingga Mac ini, JTKSM telah membuka 456 kertas siasatan terhadap syarikat atas pelbagai kesalahan.

Jelasnya, antara kesalahan dilakukan adalah di bawah Akta Kerja 1955, Akta Standard Minimum Perumahan, Penginapan dan Kemudahan Pekerja 1990 (Akta 446) serta Perintah Gaji Minimum di bawah Akta Majlis Perundingan Gaji Negara 2011.

“Kita juga telah kenakan kira-kira 700 denda dan kompaun ke atas majikan keseluruhannnya berjumlah lebih RM2 juta dalam, tempoh sama…jadi majikan daripada bayar denda baiklah bayar gaji minimum kepada pekerja.

“JTKSM di bawah KSM amat mementingkan kebajikan pekerja kerana ia adalah hak mereka yang sudah termaktub di dalam akta,” tegasnya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here