KUALA LUMPUR – Pertubuhan Kemanusiaan Masyarakat Antarabangsa Malaysia (MHO) mahu Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Jabatan Peguam Negara (AGC) bertindak mendakwa individu dan syarikat disyaki menipu serta memperdaya peserta program pelaburan dengan anggaran kerugian mencecah lebih RM47 juta.
Menurut Setiausaha Agung MHO, Datuk Hishamuddin Hashim, kira-kira 87 aduan berkaitan skim pelaburan disyaki penipuan kerana menjanjikan pulangan tinggi selain daripada janji-janji lain untuk mengaburi mangsa untuk melabur.
Semua aduan terbabit berkait dengan sebuah syarikat pelaburan yang aktif menawarkan program pelaburan dengan modus operandi meyakinkan mangsa melalui janji pulangan lumayan.
“Penipuan ini bermula sejak tahun 2019 lagi dan berlarutan sehingga kini walaupun rata-rata mangsa sudah membuat laporan namun tidak ada apa-apa penyelesaian berhubung isu ini.
“Malah beberapa kes diklasifikasikan sebagai dilepas tanpa dibebaskan (DNAA) oleh mahkamah dan ia menimbulkan keraguan serta rasa tidak puas hati dalam kalangan mangsa,” katanya kepada MalaysiaGazette.
MHO kemudian bertindak mengatur pertemuan dengan Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman bagi membincangkan langkah terbaik menyelesaikan ini.
Jelasnya, pihaknya menggesa supaya pendakwaan jenayah dilakukan ke atas dalang sindiket terbabit mengikut Kanun Keseksaan.
Untuk makluman, syarikat penipuan pelaburan sudah wujud sejak 2017 lagi namun mula aktif melakukan penipuan sekitar 2019 dengan modus operandi dengan menjalankan pelbagai bentuk perniagaan seperti saham, restoran dan forex dengan menjanjikan dividen 10 peratus setiap bulan kepada mangsa.
Hishamuddin berkata, pihaknya bersedia bekerjasama dengan PDRM, AGC dan mangsa untuk memastikan siasatan dilakukan secara menyeluruh serta telus.
“Kasihan mangsa-mangsa ini, kebanyakannya kini menanggung hutang besar gara-gara melakukan pelaburan, ada juga guna wang simpanan masa yang kini sudah hangus dan menunggu bertahun tanpa penyelesaian,” ujarnya. – MalaysiaGazette