PUTRAJAYA – Kerjasama strategik yang terjalin antara dua syarikat, Central Corporate Engineering Sdn. Bhd. (CCE) dan Oasis Xtract Sdn. Bhd dijangka mampu membuka ruang kepada pembangunan ekosistem alga bersepadu pertama di negara ini sekali gus memperkukuh landskap teknologi hijau.
Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Chang Lih Kang berkata, inisiatif tersebut bukan sekadar permulaan namun merupakan satu pencapaian penting khususnya dalam membina ekosistem industri berimpak tinggi.
“CCE mempunyai teknologi unik untuk menghasilkan alga dalam jumlah besar tanpa bergantung kepada cahaya matahari menggunakan teknologi heterotrofik yang merupakan antara yang pertama digunakan di dunia.
“Manakala Oasis Xtract pula mempunyai teknologi inovatif bagi mengekstrak minyak mentah daripada alga. Justeru, gabungan kepakaran ini juga sejajar dengan agenda kerajaan dalam membangunkan industri bernilai tinggi dan berpotensi untuk berkembang pesat,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menyaksikan Majlis Menandatangani Perjanjian Persefahaman (MoU) antara CCE dan Oasis Xtract di sini hari ini.
Dalam pada itu, Lih Kang berkata, kerjasama strategik yang terjalin itu turut membuka ruang yang luas kepada pembangunan bakat tempatan.
“Saya menyeru lebih banyak syarikat pemula agar mencontohi langkah seperti ini. Walaupun kerajaan menyediakan pelbagai insentif dan sokongan, kerjasama sektor swasta adalah kunci untuk mempercepatkan pembangunan teknologi tempatan,” ujarnya.
Beliau turut menyatakan keyakinan sinergi antara CCE dan Oasis Extract akan membawa hasil yang lebih besar pada masa depan termasuk dari aspek pasaran eksport dan penyelidikan lanjutan dalam bidang biofuel serta bioteknologi.
MoU antara kedua-dua syarikat membuka lembaran baharu dalam usaha Malaysia ke arah pembangunan teknologi hijau dan mampan.
Kerjasama itu bukan sekadar perjanjian rasmi tetapi lambang kepada visi bersama kedua-dua syarikat dalam memacu inovasi dan kemampanan yang sejajar dengan agenda kerajaan di bawah kerangka Ekonomi MADANI.
MoU itu juga merupakan usaha memperkukuh inovasi dalam bidang tenaga boleh diperbaharui melalui penghasilan mikroalga tanpa bergantung kepada fotosintesis.
CCE merupakan antara pelopor dalam teknologi tersebut di mana mikroalga biasanya ditanam menggunakan cahaya matahari untuk proses fotosintesis.
Namun pasukan penyelidik CCE berjaya membangunkan kaedah heterotrofik iaitu menanam alga tanpa cahaya matahari membolehkan pengeluaran yang lebih konsisten dan stabil tanpa terjejas oleh cuaca. – MalaysiaGazette