Jonathan Vela

KUALA LUMUR – Jonathan Vela melahirkan rasa syukur dan penghargaan atas mandat yang telah diberikan oleh ahli Parti Keadilan Rakyat (PKR) dalam Pemilihan Parti 2025, yang menyaksikan beliau dipilih sebagai Naib Ketua Cabang Keadilan Bandar Tun Razak.

Beliau mengucapkan terima kasih kepada penyokong selepas kemenangan memihak kepadanya.

“Terima kasih kepada semua yang telah bekerja keras menjayakan kempen ini serta kepada setiap ahli yang telah memberikan kepercayaan kepada saya dalam pemilihan kali ini.

“Sokongan anda amat saya hargai dan tidak akan saya persiakan.” Katanya dalam kenyataan.

Beliau menegaskan, kemenangan itu bukan sekadar kejayaan peribadi, tetapi merupakan simbol harapan rakyat terhadap masa depan yang lebih adil dan inklusif.

“Dalam setiap proses pilihan raya, rakyatlah yang menjadi penentu sebenar. Mereka berhak memilih pemimpin yang benar-benar mendengar suara mereka, yang komited untuk membawa perubahan bermakna, dan yang bekerja tanpa jemu untuk komuniti,” ujarnya.

Jonathan turut menyeru semua ahli parti untuk terus berganding bahu, memperkukuhkan perpaduan dan meneruskan perjuangan reformasi di setiap peringkat – baik di cabang mahupun nasional.

“Saya berikrar untuk memikul amanah ini dengan penuh integriti, ketelusan dan komitmen. Perjuangan kita masih panjang, tetapi bersama-sama, kita mampu merealisasikan impian rakyat,” katanya.

Beliau turut merakamkan setinggi-tinggi tahniah kepada Datuk Azman Abidin yang berjaya mempertahankan jawatan sebagai Ketua Cabang Bandar Tun Razak tanpa bertanding serta Kuek Po Guan yang mencatat kemenangan bergaya dengan majoriti yang memberangsangkan.

“Kemenangan mereka membuktikan keyakinan berterusan ahli terhadap kepimpinan yang berwibawa dan berdaya saing. Saya amat menantikan kerjasama erat bersama mereka demi memacu cabang ini ke arah yang lebih gemilang.” Tambahnya.

Pada masa sama, Jonathan turut mengulas mengenai fenomena mengejutkan yang berlaku dalam pemilihan kali ini, yang mana ramai tokoh besar parti tewas kepada calon-calon baharu.

“Ini jelas membuktikan bahawa Parti Keadilan Rakyat adalah sebuah parti yang benar-benar demokratik.

“Ahli mempunyai hak sepenuhnya untuk memilih pemimpin yang benar-benar turun ke akar umbi, yang bekerja bersama rakyat tanpa mengira bangsa atau agama. Inilah kekuatan sebenar keadilan – kepimpinan yang dibentuk oleh suara rakyat, bukan oleh nama atau gelaran,” katanya.

Tambahnya, kemenangan itu secara keseluruhannya dilihat sebagai satu suntikan semangat baharu dalam landskap politik tempatan, khususnya di Bandar Tun Razak, sekaligus membuka lembaran baru dalam gerakan memperjuangkan keadilan dan kesejahteraan rakyat. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here