Menteri Sumber Manusia dan Kelestarian Alam, Nik Nazmi Nik Ahmad.

PETALING JAYA – Naib Presiden PKR Nik Nazmi Nik Ahmad optimis beliau mampu mempertahankan jawatan itu dalam Pemilihan PKR 2025, yang akan berlangsung hujung Mei ini.

Beliau yang juga Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam mengekalkan pendirian untuk mempertahankan kedudukan itu, biarpun tewas dalam pemilihan Ketua Cabang Setiawangsa pada pemilihan peringkat cabang baru-baru ini.

“Sebelum ini saya sudah maklumkan akan mempertahankan jawatan…insya-Allah, kita tetap dengan keputusan itu (bertanding jawatan Naib Presiden PKR). Jika ada pengumuman besar, saya akan maklumkan nanti,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas meninjau pemasangan panel solar di gedung beli-belah IKEA Damansara di sini, hari ini.

Nik Nazmi yang juga Ahli Parlimen Setiawangsa tewas kepada pencabarnya Datuk Afdlin Shauki bagi jawatan Ketua Cabang Setiawangsa pada Pemilihan PKR 2025, selepas meraih 563 undi manakala Afdlin memperoleh 631 undi.

Dalam pada itu, Nik Nazmi berkata Presiden PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim akan mempengerusikan mesyuarat Majlis Pimpinan Pusat (MPP) esok bagi membincangkan isu berbangkit dalam proses pemilihan parti.

Difahamkan antara perkara yang akan dibincangkan ialah kekalahan beberapa pimpinan parti yang memegang portfolio menteri dan timbalan menteri dalam pemilihan peringkat Cabang, Wanita Cabang dan Angkatan Muda Keadilan (AMK) Cabang.

Selain Nik Nazmi, Timbalan Menteri Belia dan Sukan Adam Adli Abdul Halim juga tewas bagi jawatan Timbalan Ketua Cabang Hang Tuah Jaya, manakala Timbalan Menteri Perpaduan K. Saraswathy tewas bagi jawatan Ketua Cabang Bukit Bintang.

Ahli Parlimen Batu P. Prabakaran, Ahli Parlimen Wangsa Maju Zahir Hassan, Ahli Parlimen Ampang Rodziah Ismail dan Ahli Parlimen Sungai Siput S. Kesavan, turut tewas dalam perebutan di cabang masing-masing.- BERNAMA

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here