Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na'im Mokhtar.

KUALA LUMPUR – Proses pengeluaran visa bagi jemaah haji Malaysia musim 1446 Hijrah/2025 Masihi yang dikendalikan Lembaga Tabung Haji (TH) kini mencapai 45 peratus, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar.

Beliau berkata pengeluaran visa berkenaan adalah sebahagian daripada proses tahunan yang dilaksanakan TH bagi memastikan kelancaran persiapan operasi haji tahun ini.

“TH juga sudah bersedia sepenuhnya dengan persiapan hampir 100 peratus. Tahun ini, TH membawa seramai 632 petugas haji yang terdiri daripada petugas kebajikan, perubatan dan wakil agensi luar yang terbabit,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas mengadakan lawatan dan sesi ramah mesra ke Unit Proses Visa Haji bagi meninjau persiapan pengurusan visa jemaah haji musim ini.

Turut hadir, Pengerusi TH, Tan Sri Abdul Rashid Hussain dan Ketua Pegawai Eksekutif TH, Datuk Syed Hamadah Syed Othman.

Dalam pada itu, Mohd Na’im merakamkan penghargaan kepada Kerajaan Arab Saudi atas kecekapan dalam pengeluaran visa serta penambahbaikan sistem kad Nusuk.

“Ia satu pengiktirafan besar daripada Kerajaan Arab Saudi terhadap kecekapan sistem pengurusan haji negara, hasil hubungan erat dan strategik antara TH dan Kementerian Haji dan Umrah Arab Saudi,” katanya.

Beliau berkata Malaysia menjadi negara pertama di dunia yang akan mengagihkan kad Nusuk kepada jemaah haji di dalam negara sendiri bagi musim ini.

“Kad ini adalah penghargaan daripada Kerajaan Arab Saudi yang memberikan Malaysia keutamaan sebagai negara rintis dalam pengedaran kad Nusuk di dalam negara, selain laluan Makkah,” katanya.

Katanya kad berkenaan akan diagihkan kepada jemaah haji di Balai Berlepas Induk, Movenpick Hotel and Convention Centre KLIA (MHCC), sebelum mereka bertolak ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) menuju Tanah Suci.

“Tahun lalu, kad Nusuk diserahkan di Makkah menjelang Wukuf, namun tahun ini ia diagihkan lebih awal bagi memudahkan pergerakan jemaah. Jika kita berjaya menguruskan agihan kad Nusuk dalam negara, inisiatif ini akan diperluaskan ke negara Islam lain.

“Insya-Allah, kejayaan ini menjadi pemangkin kepada usaha TH untuk terus memberikan perkhidmatan terbaik kepada jemaah Malaysia,” katanya. – BERNAMA

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here