KUALA LUMPUR- Tindakan campur tangan ahli politik yang menganggu tugas penjawat awam dalam dua kejadian baru-baru ini tidak boleh dilihat sebagai isu remeh kerana ia satu kesalahan serius.
Pertubuhan Kebajikan dan Dakwah Islamiah Malaysia (Perkida) berkata, pihaknya marah dan bimbang dengan kes pekebun haram di Raub yang menceroboh tanah kerajaan secara terang-terangan dan kemudian “diselesaikan” dengan cadangan campur tangan orang tengah oleh DAP Pahang.
Begitu juga dengan kes pemilik kedai yang bertindak kasar dan menghalang anggota penguat kuasa Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) menjalankan tugas, tetapi akhirnya dilepaskan hanya selepas memohon maaf.
Presidennya, Mohd Foad Mat Isa berkata, pelakuan menganggu penjawat awam adalah satu kesalahan serius di bawah Kanun Keseksaan dan pelakunya sepatutnya didakwa di mahkamah bukan dibela oleh ‘orang tengah’.
“Adakah selepas ini semua penceroboh tanah kerajaan boleh mohon maaf dan lepas tangan? Adakah selepas ini sesiapa pun boleh menengking, menolak atau menghalang penguat kuasa PBT dan hanya perlu “minta maaf” untuk dilepaskan?,” soalnya.
Beliau berkata, Perkida membantah sekeras-kerasnya sebarang usaha untuk menjadikan permohonan maaf dan campur tangan politik sebagai jalan keluar kepada kesalahan undang-undang.
“Ini bukan “budaya penyelesaian” – ini adalah budaya menghapuskan kedaulatan undang-undang negara,” tegasnya.
Oleh itu, Perkida mendesak Kementerian Dalam Negeri (KDN), Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Polis DiRaja Malaysia (PDRM), Jabatan Peguam Negara dan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) campur tangan segera dan memastikan setiap individu yang menghalang tugas penjawat awam didakwa tanpa kompromi.
Bahkan, mana-mana ahli politik yang cuba menjadi “orang tengah” dalam kesalahan jenayah, perlu disiasat kerana mencampuri urusan penguatkuasaan undang-undang negara.
Mohd Foad berkata, negara ini bukan milik sesiapa kerana ada hukum.
Kalau undang-undang hanya ditegakkan kepada rakyat biasa, tetapi penceroboh dan samseng politik dilayan dengan “orang tengah” dan “permohonan maaf”, maka kita telah gagal mempertahankan maruah penjawat awam dan kedaulatan undang-undang.
Oleh itu, tegasnya, Perkida tidak akan berdiam diri dan terus memantau serta akan turun ke padang jika maruah penjawat awam terus diperlekeh dan undang-undang terus dipermainkan, tambahnya. – MalaysiaGazette