MELAKA – Seorang pereka pakaian yang tular tindakannya membuat ‘content’ membuang baju T ciplak di Sungai Melaka dikenakan kompaun RM500 oleh Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB).
Datuk Bandarnya, Datuk Shadan Othman berkata, pihaknya memandang serius tindakan lelaki berusia 34 tahun itu walaupun ia hanyalah sekadar kandungan untuk sosial media premisnya yang terletak di Bangunan Stadthuys.

“Walaupun baju ciplak yang dikatakan sampah itu sudah dikutip semula, sepatutnya ada kaedah lain nak luahkan perasaan marah seperti membuang baju tersebut ke tong sampah.
“Pagi Ahad lalu, kita dah pergi ke premisnya namun walaupun individu terbabit tiada kita berjaya menghubunginya peniaga itu dan dia mengakui perbuatannya seperti dalam video berdurasi 13 saat yang tular,” katanya ketika dihubungi, di sini, hari ini.

Shadan berkata, walaupun pemiliknya memberitahu ia adalah insiden pertama dilakukannya dan pakaian yang dibuang ke Sungai Melaka itu sudah dikutip semula, tindakan tegas perlu diambil.
“Pegawai penguat kuasa telah mengeluarkan satu Notis Pemberitahuan Kesalahan (NPK) di bawah Seksyen 47(1)(a), Akta Jalan, Parit dan Bangunan 1974.
“Ia adalah atas kesalahan membuang pakaian atau sampah di suatu tempat awam, iaitu di dalam sungai boleh dikenakan kompaun sebanyak RM500,”katanya.

Tangkap layar dari video tular menunjukkan pereka pakaian membuang baju ciplak dipercayai meniru rekaannya ke dalam Sungai Melaka.
Terdahulu, tular video berdurasi 13 saat di TikTok lelaki berkenaan berang apabila mengetahui ada baju ciplak dipercayai meniru rekaannya di pasaran dan membuang baju disifatkan sampah itu ke dalam Sungai Melaka.
Perbuatannya itu bagaimanapun mencetuskan kemarahan netizen kerana tindakannya itu seolah-olah mengajak orang ramai melakukan tindakan serupa terhadap barangan cetak rompak lain. – MalaysiaGazette