KUALA LUMPUR – Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih) mengecam insiden yang didakwa salah laku piihan raya oleh kerajaan pada kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Ayer Kuning yang sedang berlangsung ketika ini.
Jawatankuasa Pemandu Bersih dalam kenyataan hari ini berkata, insiden itu melibatkan pengumuman bersyarat oleh Kerajaan Persekutuan menerusi Timbalan Perdana Menteri, Datuk Ser Dr. Ahmad Zahid Hamidi pada 12 April lalu.
Menurutnya, Ahmad Zahid ketika itu berikrar projek pembangunan di Ayer Kuning akan diteruskan sekiranya calon Barisan Nasional (BN) memenangi PRK tersebut.
“Pengumuman bersyarat sebegini merupakan satu bentuk penyalahgunaan sumber kerajaan untuk mempengaruhi undi secara tidak wajar oleh pihak Kerajaan Persekutuan.
“Taktik ini adalah taktik kotor yang sepatutnya tidak diulangi oleh Kerajaan Madani yang katanya mengangkat slogan keadilan,” katanya.
Tambah Bersih, insiden salah laku lain adalah pemberian duit raya semasa tempoh berkempen iaitu dalam satu program ramah mesra anjuran Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP) di Tapah yang turut dihadiri Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu.
Ujarnya, walaupun pemberian itu melalui agensi kerajaan, pemberian sebegitu dalam tempoh kempen dan di kawasan PRK boleh ditafsir sebagai bentuk pemberian yang mempengaruhi pengundi, yang boleh menjadi kesalahan di bawah Seksyen 10 Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954.
“Kerajaan Persekutuan perlu mengambil ibrah daripada petisyen pilihan raya yang menyebabkan PRK Kuala Terengganu dan Kemaman sebelum ini,” katanya.
Dalam pada itu, Bersih turut membangkitkan mengenai penggunaan jentera kerajaan untuk berkempen melibatkan Menteri Besar Perak dalam program rasmi kerajaan seperti “Town Hall Bersama Anak Muda” di Kompleks Sukan Tapah, bersama calon PRK.
Ujarnya, ia jelas melanggar prinsip asas pemisahan antara kerajaan dan parti serta menyalahgunakan kelebihan sebagai penyandang jawatan untuk memberi kelebihan tidak adil kepada calon tertentu.
“Bersih mempersoalkan tempat dan masa program ini dijalankan kerana Kerajaan Negeri Perak sudah tentu sedia maklum bahawa majlis tersebut adalah ketika tempoh berkempen,” katanya.
Sehubungan itu, tambahnya, Bersih menggesa Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mengeluarkan garis panduan yang jelas kepada Kerajaan Persekutuan, Kerajaan Negeri dan semua pihak yang terlibat agar kempen pilihan raya berlangsung secara adil dan bersih.
Ujarna, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) juga perlu menjalankan siasatan berhubung kemungkinan wujudnya unsur rasuah politik dalam pemberian serta pengumuman yang dibuat sepanjang kempen.
“Kerajaan, sama ada di peringkat negeri atau Persekutuan, harus menunjukkan komitmen terhadap prinsip pemisahan kuasa antara parti dan pentadbiran dengan tidak memperalatkan agensi atau dana awam demi kepentingan pilihan raya,” katanya.
Tambahnya, Bersih menegaskan sebarang bentuk salah guna kuasa semasa pilihan raya bukan sahaja mencemarkan demokrasi, malah menjauhkan rakyat daripada kepercayaan terhadap sistem pilihan raya.
Sehubungan itu, ujarnya, semua pihak perlu berusaha untuk memastikan PRK DUN Ayer Kuning berlangsung secara adil, telus dan bersih. – MalaysiaGazette