Ibu bapa Allahyarham Zayn Rayyan Abdul Matin, Zaim Ikhwan Zahari dan isteri Ismanira Abdul Manaf keluar selepas mahkamah menolak permohonan bagi membatalkan pertuduhan pengabaian anaknya yang juga kanak-kanak autistik Zayn Rayyan ketika di Mahkamah Tinggi Shah Alam. Foto MOHD ADZLAN, 04 MAC 2025. (Gambar fail).

PETALING JAYA –  Suasana di Mahkamah Sesyen di sini hari ini sedikit tegang apabila pihak pendakwaan dan pembelaan bertikam lidah mengenai keputusan mahkamah untuk menayangkan semula rakaman video lakonan semula tertuduh, Ismanira Abdul Manaf.

Untuk makluman, video lakonan semula itu berkisar lokasi Allahyarham Zayn Rayyan Matin hilang dan kemudian ditemukan mati di anak sungai di Damansara Damai.

Hakim Dr Syahliza Warnoh pada awalnya membenarkan permohonan pendakwaan melalui saksi pendakwaan ke-28, Asisten Superintendan Mohd Hafizee Ismail yang mahu melakukan beberapa proses pengecaman semula.

Syahliza membuat keputusan itu walaupun mendapat bantahan barisan peguambela diketuai Haresh Mahadevan mewakili ibu bapa Zayn Rayyan, Ismanira dan Zaim Ikhwan Zahari mengikut Seksyen 113 Kanun Tatacara Jenayah.

Keputusan beliau selepas stand down selama 20 minit, Syahliza tetap untuk membenarkan permohonan pendakwaan untuk video lakonan semula dimainkan semula untuk isu admissibility (kebolehterimaan bukti) di mahkamah dan akan buat keputusan pada akhir kes pendakwaan.

“Saya benarkan selepas merujuk beberapa kes rujukan terdahulu. Mahkamah belum pernah tengok video ini dan kita perlu melihat, sama ada isu admissibility timbul kita cakap kemudian pada akhir kes,” tegasnya.

Rakaman itu kemudian dimainkan bagi memberi laluan kepada Mohd Hafizee membuat pengecaman mengikut  keterangan saksinya.

MalaysiaGazette yang turut berada dalam prosiding itu sempat melihat Ismanira yang berpakaian lokap berwarna oren serta ditutup kepala menggunakan tuala seperti menunjukkan beberapa lokasi kepada pasukan polis diketuai Mohd Hafizee.

Kelihatan juga Ismanira senyum, ketawa kecil melihat video lakonan semula itu bersama suaminya dari kandang sambil sesekali melihat ahli keluarganya.

Selang beberapa saat, sekali lagi Haresh bangkit bersuara kuat dan marah kerana tindakan menayangkan video lakonan semula itu tidak seperti proses pengecaman sebaliknya melanggar Sesyen 113 Kanun Tatacara Jenayah dan Sesyen 26 Akta Keterangan 1950.

“Apa sedang berlaku ini? Tolong hentikan tayangan ini dengan segera. Tolong hentikan video ini sekarang. Tidak cukupkah sekadar pengecaman? Mengapa perlukan mainkan keseluruhan video ini?

“Ini seperti menonton satu rakaman secara penuh tanpa sebarang batasan. Ia bercanggah dengan prinsip pengecaman dalam prosiding jenayah,” hujahnya.

Pihak pendakwaan diketuai Timbalan Pendakwa Raya, Raja Zaizul Faridah Raja Zaharudin meminta pembelaan menghormati keputusan hakim dan meminta Mohd Hafizee menerangkan video yang ditayangkan untuk pengecaman berkenaan.

“Mahkamah sudah buat keputusan, sepatutnya semua hormat. Jika tidak berpuas hati buatlah rayuan,” ujarnya.

Namun Haresh terus membantah dan kemudiannya Syahliza sendiri meminta pasukan teknikal menghentikan video itu.

“Saya nampak ada bentuk statement daripada tertuduh. Kerana itu kita minta mahkamah hentikan video,” ujarnya.

Prosiding bersambung pagi esok.

Pada 13 Jun lalu, Zaim Ikhwan dan Ismanira, masing-masing 29 tahun mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini, atas satu pertuduhan mengabaikan kanak-kanak autistik berusia enam tahun itu dengan cara kemungkinan menyebabkan kecederaan fizikal terhadapnya pada 5 Disember 2023.

Pertuduhan jika sabit salah mengikut Seksyen 31 (1) (a) Akta Kanak-Kanak 2001 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 31 (1) akta sama dan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan, yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM50,000 atau penjara tidak lebih 20 tahun atau kedua-duanya.

Mayat Zayn Rayyan ditemukan dalam keadaan terbaring di aliran anak sungai berhampiran rumahnya di Apartment Idaman, Damansara Damai dekat sini selepas dilaporkan hilang sehari sebelumnya.

Kanak-kanak itu dipercayai dibunuh apabila hasil bedah siasat menemukan kesan kecederaan pada leher serta badannya akibat mempertahankan diri. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here