Logo halal Jakim

DI Malaysia, isu status halal makanan di restoran telah menjadi topik yang sering diperkatakan, terutama dengan semakin banyaknya premis makanan yang menggunakan istilah “Muslim friendly” atau “pork free” untuk menarik pelanggan. Namun, adakah istilah-istilah ini benar-benar memberi jaminan tentang kesahihan status halal makanan yang disajikan?

Istilah “Muslim friendly” dan “pork free” tidak dapat dianggap sebagai jaminan sesuatu premis makanan itu mematuhi prinsip-prinsip halal. Walaupun kedua-dua istilah ini memberi petunjuk kepada pelanggan Muslim bahawa premis tersebut mungkin mematuhi beberapa garis panduan halal, namun tiada badan yang berwibawa yang mengesahkan secara rasmi status halal premis tersebut.

Dalam kes “pork free”, restoran mungkin menyatakan tidak menyediakan daging babi, tetapi ia tidak bermakna bahan lain yang digunakan dijamin halal. Begitu juga dengan “Muslim Friendly”, ia hanya memberi indikasi bahawa premis tersebut cuba mesra dengan pelanggan Muslim, namun tidak ada pengesahan rasmi berhubung kesahihan status halal makanan di premis tersebut.

Berbeza dengan restoran yang memperoleh sijil halal, premis makanan yang berstatus halal diiktiraf oleh pihak berkuasa berwibawa, iaitu Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) dan Jabatan Agama Islam Negeri (JAIN), yang bertindak mengikut Akta Perihal Dagangan 2011 melalui Perintah Perihal Dagangan (Takrif Halal) 2011. Untuk mendapatkan sijil halal, premis makanan perlu melalui proses yang ketat. Pihak restoran diwajibkan untuk mengishtiharkan semua bahan mentah yang digunakan dalam penyediaan makanan mereka.

Di samping itu, setiap premis perlu menjalani audit yang teliti, dengan pihak berkuasa berwibawa, seperti Jakim atau MAIN/JAIN, akan turun untuk memeriksa keseluruhan operasi restoran termasuk kebersihan, sumber bahan mentah, dan kepatuhan terhadap prosedur yang ditetapkan.

Proses pensijilan halal ini bukan sahaja memberi keyakinan kepada pengguna Muslim bahawa makanan yang mereka makan adalah patuh syariah, tetapi juga memastikan keseluruhan ekosistem pemprosesan makanan itu mematuhi syarat-syarat Islam. Ini termasuk penggunaan bahan-bahan yang disahkan halal dan mematuhi prosedur penyembelihan yang sah menurut syariah. Oleh itu, pensijilan halal bukan sahaja satu prosedur pentadbiran, tetapi juga satu langkah penting untuk melindungi hak-hak pengguna dan memastikan kepatuhan terhadap syariah.

Sebaliknya, premis yang menggunakan istilah “Muslim friendly” atau “pork free” hanya bergantung pada pengisytiharan pihak restoran tanpa sebarang pengesahan daripada badan berkuasa. Ini menimbulkan persoalan tentang sejauh mana premis tersebut benar-benar mematuhi standard halal yang ditetapkan. Tanpa pengesahan rasmi, tidak ada jaminan  bahan yang digunakan bebas daripada bahan haram atau disediakan mengikut prosedur yang ditetapkan oleh syariah.

Kepentingan pensijilan halal adalah sangat jelas. Ia bukan sahaja memberikan perlindungan kepada pengguna Muslim, tetapi juga memastikan produk dan perkhidmatan yang ditawarkan memenuhi standard yang tinggi dari segi keselamatan dan kualiti. Selain itu, pensijilan halal juga memberi peluang kepada pemilik perniagaan untuk menjangkau pasaran yang lebih luas, khususnya bagi mereka yang ingin menarik pelanggan Muslim yang mengutamakan kehalalan dalam pemilihan makanan.

Sebagai pengguna, kita perlu bijak dalam membuat pilihan dan tidak hanya bergantung pada istilah-istilah seperti “Muslim friendly” atau “pork free” tanpa pengesahan yang jelas. Pensijilan halal adalah satu langkah yang perlu untuk memastikan kepatuhan syariah dan juga melindungi hak pengguna Muslim di Malaysia.

Oleh: Dr. Nor Aina Mhd Khotib
Pengarah
Institut Pengurusan Halal
Pusat Pengajian Perniagaan Islam
Universiti Utara Malaysia

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here