Timbalan Menteri Pertahanan, Adly Zahari (tengah) menyerahkan sumbangan kepada bekas jurulatih pemandu kereta perisai, Staf Sarjan (B) Hasan Nayan (dua dari kanan) yang menghidap kanser usus di rumahnya di Kampung Tengah, Pasir Panjang, Sekinchan hari ini.

SEKINCHAN -“Alhamdulilah, masih ada yang sudi ingat dan menjenguk saya walaupun tidak gagah seperti dahulu”.

Itu kata veteran Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Staf Sarjan (B) Hasan Nayan.

Bekas jurulatih pemandu kereta perisai berusia 75 tahun yang kini menghidap kanser usus tahap tiga terharu apabila menerima lawatan Timbalan Menteri Pertahanan, Adly Zahari di kediamannya di Kampung Tengah, Pasir Panjang di sini hari ini.

Sebagai rekod, sebanyak 14 rumah veteran tentera termasuk Hasan disantuni menerusi program Peduli Veteran Madani di daerah Sabak Bernam.

Bekas anggota Tentera Darat Malaysia (TDM) yang bersara sejak 1991 itu memaklumkan dirinya masih menjalani rawatan termasuk kemoterapi dan radioterapi di Hospital Kuala Lumpur (HKL).

“Selepas disahkan sakit pada 2014, saya pernah lumpuh dan isteri (Rumisah Arasat berusia 69 tahun) menguruskan segala keperluan termasuk makan minum.

“Syukur sangat apabila Kementerian Pertahanan tidak melupakan bakti dan jasa saya sepanjang berkhidmat dalam TDM,” katanya.

Timbalan Menteri Pertahanan, Adly Zahari (tengah) menyerahkan sumbangan kepada bekas jurulatih pemandu kereta perisai, Staf Sarjan (B) Hasan Nayan (dua dari kanan) yang menghidap kanser usus di rumahnya di Kampung Tengah, Pasir Panjang, Sekinchan hari ini.

Hasan yang juga bapa kepada lima anak  kini boleh menguruskan diri termasuk memandu ke Klinik Kesihatan (KK) Sekinchan untuk rawatan berkala.

Menurutnya, dia turut berterima kasih kepada Jabatan Hal Ehwal Veteran (JHEV) ATM yang sentiasa mengikuti perkembangannya dari semasa ke semasa.

Sementara itu, Adly berkata, pihaknya akan meneruskan usaha menyantuni veteran tentera dengan minggu lalu di Sepang iaitu seramai 14 orang.

“Program yang diadakan ini bertujuan untuk melihat sendiri apa yang perlu kita bantu khususnya dari segi kebajikan. Paling mustahak adalah JHEV ATM menguruskan veteran dari segi kesihatan, pendidikan anak-anak selain melihat aspek perumahan dan bantuan usahawan,” katanya.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here