TAPAH – Bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ayer Kuning, Datuk Samsudin Abu Hassan berharap agar Barisan Nasional (BN) dapat terus diberi mandat pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN).
Bekas penyandang kerusi selama empat penggal itu menggambarkan Ayer Kuning sebagai kubu kuat BN apabila parti itu kekal di kerusi berkenaan walaupun berlaku pelbagai perubahan corak politik tanah air termasuk tsunami politik pada 2008.
Justeru beliau berkata, perkara itu menjadi tanggungjawab besar kepada calon dan parti untuk mengekalkan kemenangan BN pada PRK ini.

“Saya berharap agar rakyat di DUN Ayer Kuning dapat memilih calon daripada parti kerajaan yang selari dengan kepimpinan di Negeri Perak dan Persekutuan.
“Ia penting dalam memastikan segala agenda pembangunan dapat terus dilaksanakan (dan Ayer Kuning memperoleh manfaat),” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita pada program Jom Belajar: Pelajar Sekolah DUN Ayer Kuning – Tabung Pendidikan Melayu di Kampung Tanjung Keramat, Tapah Road, dekat sini, pada Isnin.
Majlis dirasmikan Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Dr Mohd Puad Zarkashi.
Mengulas lanjut Samsudin berkata, calon BN, Dr Mohamad Yusri Bakir atau dikenali sebagai Ustaz Yusri adalah calon yang terbaik bagi mengisi kekosongan kerusi DUN Ayer Kuning.
Kata beliau ini kerana, Ustaz Yusri mempunyai latar belakang pengajian hingga ke peringkat profesional serta berpengalaman luas dalam bidang pendidikan.

“Pada PRK ini saya berharap ia dapat menjadi contoh terbaik kepada pilihan raya lain di Malaysia.
“Dan pada masa sama, besar juga harapan saya agar sasaran 18,000 undi yang dihasratkan Menteri Besar Perak (Datuk Seri Saarani Mohamad) dapat dicapai,” ujar beliau.
`Pada PRK Ayer Kuning, Ustaz Yusri dari BN berdepan saingan dua penjuru antara Abd Muhaimin Malek dari Perikatan Nasional (PN) dan Bawani KS (Parti Sosialis Malaysia – PSM).
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan hari pengundian bagi PRK DUN Ayer Kuning pada 26 April ini, sementara pengundian awal pada 22 April.
Kekosongan kerusi DUN Ayer Kuning berlaku susulan kematian penyandangnya, Ishsam Shahruddin, 59, selepas rebah ketika menyertai perlawanan bola sepak di Pulau Pinang pada 22 Februari lalu. – MG Perak
Artikel Berkaitan:
Ustaz Yusri masuk ‘gear lima’, jelas manifesto kepada pengundi
PRK Ayer Kuning penentu kekuatan parti dalam Kerajaan Perpaduan
PRK Ayer Kuning: Ustaz Yusri garis 7 tawaran dalam manifesto