Thines didakwa di Mahkamah Sesyen George Town, Pulau Pinang hari ini.

GEORGE TOWN – Seorang pekerja penyelenggaraan penyaman udara mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini, hari ini atas pertuduhan ragut beg milik wanita Indonesia pada Khamis lalu.

Tertuduh, A. Thines, 25, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Hakim Juraidah Abbas.

Mengikut pertuduhan, lelaki yang sudah berumahtangga itu didakwa mencuri beg jenama Longchamp yang mengandungi wang tunai RM1,000, sebuah iPhone 7, pasport dan kad kredit milik seorang wanita Indonesia sekali gus dengan sengaja menyebabkan ketakutan bahawa kecederaan serta-merta ke atas mangsa boleh berlaku.

Dia didakwa melakukan kesalahan itu di tepi Jalan Kuala Kangsar di sini, jam 4.50 petang pada 17 April lalu.

Bagi kesalahan itu dia didakwa mengikut Seksyen 392 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 14 tahun serta denda atau sebatan.

Tertuduh dibenarkan ikat jamin.

Ketika prosiding, Timbalan Pendakwa Raya, Puteri Nurul Nadia Mohamed Iqbal tidak menawarkan jaminan kerana kes itu susulan ia merupakan kesalahan yang tidak boleh dijamin.

Bagaimanapun, sekiranya mahkamah membenarkan jaminan, beliau memohon ikat jamin yang tinggi dengan mengambil kira beberapa faktor.

“Tertuduh sedang berdepan perbicaraan kes curi lain di Mahkamah Majistret Balik Pulau dan dibenarkan ikat jamin.

“Mahkamah perlu mengambil kira corak kejadian curi yang dilakukan tertuduh biarpun dia sedang dibicarakan bagi kes lain.

“Kes itu juga mendapat perhatian awam apabila rakaman video kejadian tertuduh meragut mangsa tular di media sosial,” katanya.

Sementara itu, Puteri Nurul Nadia turut memohon syarat tambahan agar tertuduh tidak dibenarkan mengganggu mangsa dan saksi pendakwaan selain perlu melapor diri di balai polis setiap bulan sehingga kes selesai.

Dalam rayuannya, tertuduh yang tidak diwakili peguam memaklumkan bahawa dia yang berpendapatan RM1,600 sebulan perlu menjaga isteri yang sedang hamil lapan bulan anak pertama mereka.

Hakim kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM10,000 beserta seorang penjamin dan syarat tambahan yang dipohon pihak pendakwaan.

Kes akan disebut semula pada 28 Mei depan bagi lantikan peguam. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here