KUALA LUMPUR – Tindakan seorang bekas pemimpin wanita UMNO menyertai Pas ketika kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Ayer Kuning sedang berlangsung disifatkan sebagai sebahagian daripada strategi perang saraf terdesak pihak lawan yang semakin buntu mencari sokongan pengundi.
Ketua Penerangan Wanita UMNO Malaysia, Datuk Rosni Zahari berkata, tindakan itu bertujuan menggugat moral jentera Barisan Nasional (BN).
Bagaimanapun kata beliau, tindakan itu tidak sedikit pun melemahkan semangat mereka, sebaliknya, ia telah menyuntik semangat baharu dan memperkukuh iltizam jentera Wanita UMNO untuk terus bekerja lebih gigih demi memastikan kemenangan calon BN.
“Jentera Wanita, khususnya pasukan Jalinan Rakyat (JR), terbukti amat berkesan dan menjadi kekuatan utama yang menggugat pihak lawan.
“Dengan gerak kerja yang tersusun, kehadiran kukuh di akar umbi serta pendekatan mesra rakyat, pasukan JR terus mendapat sambutan positif dan membina keyakinan dalam kalangan pengundi, terutamanya Wanita,” katanya dalam kenyataan.
Menurut Rosni, Wanita UMNO yakin pengundi DUN Ayer Kuning akan terus memberi kepercayaan dan mandat kepada calon BN demi kestabilan dan kemakmuran berterusan di peringkat negeri dan nasional.
Pada Sabtu lalu, Pas mengumumkan bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kampong Gajah, Datuk Dr Wan Norashikin Wan Noordin daripada UMNO menyertai parti itu.
Borang keahlian Wan Norashikin, 52, diserahkan kepada Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang sempena Ceramah Mega Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Ayer Kuning di Kampung Tanjung Keramat, dekat Tapah.
Turut menyaksikan momen tersebut ialah Pengerusi Muafakat Nasional (MN), Tan Sri Annuar Musa; Naib Presiden Pas, Datuk Idris Ahmad dan Naib Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu.
Bekas Ketua Wanita UMNO Perak itu menang di kerusi DUN Kampong Gajah selama dua penggal iaitu pada 2018-2022 dan 2008-2013.
Pada 2018 lalu, Wan Norashikin menewaskan calon Pas dengan majoriti 1,416.
Pada pilihan raya umum ke-14 (PRU14) pula, beliau menewaskan calon Pas dan Pakatan Harapan (PH) dengan memperoleh 11,026 undi.
Wan Norashikin diberi peluang bertanding semula pada PRU15 di kerusi sama, namun tewas kepada calon Perikatan Nasional (PN), Zafarulazhan Zan mewakili Pas. – MalaysiaGazette