Gambar hiasan

PUTRAJAYA – Mahkamah Tinggi hari ini diberitahu firma guaman Wong & Partners, yang sebelum ini adalah penasihat undang-undang 1Malaysia Development Berhad (1MDB), tidak terlibat dalam penghantaran USD1 bilion pada 2009 untuk usaha sama syarikat itu dengan PetroSaudi International.

Bekas rakan kongsi firma berkenaan Brian Chia Hock Gee berkata Wong & Partners tidak mempunyai apa-apa peranan berhubung pembayaran itu atau mengendalikan sebarang dana.

Beliau berkata penghantaran dana itu dilakukan oleh Ketua Pegawai Eksekutif 1MDB Datuk Shahrol Azral Ibrahim Halmi dan bekas Pengarah Eksekutif Pembangunan Perniagaannya, Casey Tang Keng Chee.

Chia, 56, yang memberi keterangan sebagai saksi pembelaan ke-23 pada perbicaraan Datuk Seri Najib Razak membabitkan dakwaan penyelewengan RM2.3 bilion dana 1MDB, berkata urusan dengan Bank Negara Malaysia (BNM) bagi kelulusan pertukaran kawalan membabitkan usaha sama itu dilakukan oleh 1MDB.

Untuk rekod, penghantaran USD1 bilion itu dibahagikan kepada dua dengan USD700 juta dimasukkan ke akaun di RBS Coutts, yang kemudian didapati adalah milik Good Star Limited, syarikat kepunyaan ahli perniagaan dalam buruan Low Taek Jho atau Jho Low manakala bakinya USD300 juta dipindahkan ke akaun di JP Morgan.

Menyentuh mengenai perjanjian usaha sama itu, Chia berkata beliau menghadiri mesyuarat di London pada 25 Sept 2009 atas arahan Shahrol.

“Setibanya saya di London, saya telah bertemu dengan Shahrol dan ahli perniagaan dalam buruan Low Taek Jho atau Jho Low. Shahrol memaklumkan saya bahawa Jho Low adalah penasihat kepada 1MDB. Saya telah diarahkan oleh Shahrol untuk bekerjasama dengan Jho Low, Casey dan Shahrol dalam perkara ini, yang saya lakukan. Saya menghadiri mesyuarat dengan firma guaman White & Case, yang mewakili Kumpulan PetroSaudi dalam usaha sama itu.

“Pada mesyuarat itu, prinsip dan konsep usaha sama itu telah dibincangkan secara umum. Usaha sama itu adalah kerjasama kerajaan dengan kerajaan antara Malaysia dan Kerajaan Arab Saudi membabitkan projek minyak serta gas. Peranan kami adalah membantu dalam penyediaan dokumentasi bagi perjanjian usaha sama itu,” katanya.

Pada 30 Okt 2024, Hakim Datuk Collin Lawrence Sequerah memerintahkan Najib membela diri selepas memutuskan pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes prima facie terhadapnya.

Najib, 71, berdepan 25 pertuduhan termasuk empat pertuduhan penyalahgunaan kedudukan untuk menerima rasuah RM2.3 bilion daripada dana 1MDB dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan jumlah sama.

Perbicaraan bersambung esok. – BERNAMA

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here