Oleh: Collins Chong Yew Keat
LAWATAN Presiden Xi Jinping ke Asia Tenggara termasuk Malaysia mencerminkan hasrat strategik untuk melambangkan semangat serantau berasaskan hubungan sejarah dengan Malaysia, serta sebagai mesej kepada Amerika Syarikat dan Barat bahawa China masih mengekalkan cengkaman dominasi di rantau ini dalam bidang ekonomi dan keselamatan berlandaskan legasi sejarah, serta dalam usaha mengekalkan statusnya sebagai kuasa hegemoni serantau.
Mesej yang dibawanya mudah: China adalah rakan lebih baik daripada Amerika di bawah Trump.
Lawatan ini juga dilihat tepat pada masanya sebagai jawapan kepada perang tarif Trump terhadap Beijing, dan untuk memperdalam integrasi Malaysia ke dalam struktur ekonomi dan keselamatan berasaskan China—terutamanya melalui Belt and Road (BRI), Regional Comprehensive Economic Partnership (RCEP), Dual Circulation Strategy, Global Security Initiative (GSI) dan Global Development Initiative (GDI).
Tekanan tarif baharu ini memberikan Beijing peluang untuk membina kesepakatan tindak balas anti-tarif baharu, dalam usaha menunjukkan bahawa Beijing tidak bersendirian dalam menghadapi perang ini.
Trump sedang memerhati pendekatan Xi di Asia Tenggara dengan teliti, dan ini kemungkinan besar akan diterjemahkan kepada respons menerusi alat tarif.
Oleh itu, Malaysia mesti berhati-hati dan tidak memberikan respons terburu-buru untuk menyertai mana-mana barisan anti-tarif serantau atau global kerana ini akan menjejaskan hubungan perdagangan dan pertahanan kita yang penting dengan AS, yang kekal sebagai yang paling utama untuk negara ini.
Australia telah bertindak bijak dan strategik dalam mengelak daripada terlibat dalam pembentukan kuasa alternatif baharu untuk menggugat AS, dengan menolak untuk menyertai seruan China supaya bekerjasama menentang Trump.
Pendekatan pesona dalam menarik sokongan serantau
Asia Tenggara kekal sebagai rantau yang penting untuk China, berfungsi sebagai sayap selatan yang akan menyediakan laluan maritim dan darat untuk keperluan makanan, tenaga, keselamatan dan daya tahan geopolitik serta kelangsungannya. Ia adalah pintu masuk ke Lautan Hindi dan pautan penting dalam laluan perdagangan global.
Visi China terhadap “the Arctic Silk Road” bertujuan untuk membangunkan laluan perkapalan Artik ke Eropah melalui Selat Bering dan perairan kutub, memendekkan laluan perdagangan dan mengurangkan kebergantungan terhadap laluan tradisional Selat Melaka/Laut China Selatan.
Namun begitu, adalah tetap strategik bagi China untuk memastikan sayap selatannya dalam perdagangan maritim di rantau ini terjamin, dan cita-cita Artik China turut berkait rapat dengan kepentingan sayap selatannya sebagai kebergantungan status quo buat masa ini.
Model pertumbuhan domestik China sedang mengalami tekanan, dan tumpuan kini diberikan kepada Asia Tenggara sebagai sebahagian daripada sayap selatannya untuk penyusunan semula rantaian bekalan, dan mengunci kerjasama melalui BRI untuk menggantikan pasaran Barat yang semakin terancam akibat daripada tarif ini.
Perang perdagangan yang diperbaharui di bawah Trump, dengan tarif sehingga 145%, pada asasnya menyebabkan barangan China tidak mampu bersaing di pasaran AS. Eksport China ke AS sudah pun menunjukkan tanda-tanda ketepuan.
Tindak balas segera Beijing ialah strategi dua hala—pertama, menggerakkan sokongan pihak lain terhadap tarif AS melalui penyelarasan kedudukan dengan negara jiran, dan kedua, memastikan China tidak bersendirian dan memperkuatkan suara dan pengaruhnya secara kolektif.
China berkemungkinan ingin menggalakkan negara jiran supaya tidak mengambil kesempatan terhadapnya dengan membuat konsesi segera kepada AS demi pelepasan tarif. Tindakan mengelakkan halangan perdagangan atau menjadikan ASEAN sebagai hab pengeksportan semula menyediakan peluang baharu untuk China, dengan mengekalkan kelangsungan perdagangan serantau boleh mengurangkan impak langsung terhadap industri China. Xi akan berusaha memastikan kesalinghubungan rantaian bekalan dikekalkan atau ditambah baik.
China mahu terus mengekalkan ASEAN sebagai rakan dagang terbesar China (pada 2024, perdagangan ASEAN-China bernilai USD 963 bilion, mengatasi perdagangan China dengan EU atau AS), dan berfungsi sebagai penampan segera, terutamanya ketika China sedang menghadapi krisis ekonomi dalaman sendiri.
Beijing sedang mengambil peluang untuk mengukuhkan hubungan dengan jiran terdekat melalui pendekatan tersendiri Xi, sambil menghantar mesej kepada Barat bahawa China tidak terpinggir dan mampu memperdalam hubungan dengan kuasa lain meskipun di bawah tekanan Amerika Syarikat.
Penglibatan dan kehadiran Eropah yang semakin meningkat di rantau ini juga menggusarkan China. Kesatuan Eropah telah menandatangani perjanjian perkongsian strategik dengan ASEAN, dan pemimpin seperti Macron dari Perancis dan von der Leyen dari EU telah merancang lawatan ke Vietnam untuk menawarkan alternatif kepada pelaburan China dan memanfaatkan ketegangan AS-China.
Dorongan kuat Xi melalui lawatan ini dapat menjadikan rantau ini kurang terpengaruh dengan tawaran Eropah, dan menekankan naratif bahawa China kekal sebagai jiran geografi paling dekat dan penting untuk jaminan ekonomi.
Beijing sedar ia turut berdepan dengan kemerosotan dalam sentimen awam dan kepercayaan di banyak negara ASEAN disebabkan oleh kegusaran tindakannya di Laut China Selatan.
Tinjauan terbaharu menunjukkan AS telah mendapat sedikit kelebihan semula sebagai kuasa utama pilihan rantau ini berbanding China. Pendekatan lawatan ini sebahagiannya bertujuan untuk mengurangkan defisit kepercayaan ini sambil mengekalkan susunan berpusatkan China (Sinocentric order).
China secara sejarah lebih gemar berurusan secara dua hala dan bilateral dengan negara anggota dan bukan dengan ASEAN secara keseluruhan—ini diterjemahkan kepada pilihan yang terperangkap untuk rantau ini
ASEAN yang berpecah terus memberikan kelebihan kepada Beijing. Walaupun Vietnam, Malaysia dan Kemboja bukan sekutu AS secara langsung, pendirian mereka mempengaruhi persekitaran keseluruhan, terutamanya Malaysia sebagai Pengerusi tahun ini.
Usaha China dalam menjalin hubungan dengan negara-negara ini boleh menghalang mereka dalam usaha memperkukuh kehadiran ketenteraan AS. Dasar bamboo diplomacy Vietnam dan prinsip Four No’s setakat ini enggan membenarkan pangkalan AS di negara itu dan kekal berkecuali, yang menjadikan Hanoi kekal mesra terhadap Beijing, sekaligus membantu mengekalkan pendirian itu.
Malaysia pula berhati-hati terhadap keberadaan tayangan kuasa Washington kerana bimbang akan peningkatan ketegangan, dan telah lama mengamalkan backdoor and quiet diplomacy dengan Beijing dalam menguruskan ketegangan ini dengan China. Kemboja, secara dasarnya telah menolak kehadiran ketenteraan secara langsung dari AS demi menjaga hubungan dengan Beijing.
Melihat semua ini, pendekatan Xi juga boleh dilihat sebagai usaha untuk menghakis pengaruh AS sedikit demi sedikit dan mengukuhkan lagi pengaruh Beijing di rantau ini.
Dengan Xi turun padang secara peribadi dan menawarkan insentif ekonomi, dan menekankan konsep “keselamatan Asia untuk orang Asia” , ini membolehkan Xi menonjolkan perbezaan pendekatan China dengan pendekatan Barat.
Ini secara halus menolak kehadiran AS di Indo-Pasifik dan menentang kehadiran NATO versi Asia atau kerangka baharu yang bertujuan untuk menyekat China termasuk AUKUS, dasar Act East oleh Modi dan model Kalung Berlian (Necklace of Diamonds), serta Perjanjian Camp David antara Tokyo-Seoul-Washington.
Dengan memanfaatkan perbezaan pendekatan antara AS dan Barat berbanding China, Xi menjanjikan pelaburan dan pembangunan menang-menang berbanding model berpaksikan nilai, piawaian mengenai demokrasi, dan bantuan bersyarat yang ditawarkan oleh Barat—dalam usaha menjadikannya sebagai visi dan pendekatan yang berbeza.
Ini sejajar dengan naratif Beijing bahawa negara-negara Asia lebih menyukai penghormatan China terhadap prinsip “tidak campur tangan” dan pertumbuhan yang dipacu oleh infrastruktur berbanding kritikan Barat terhadap dasar rantau ini dan bantuan yang bersyarat.
China juga sedang memanfaatkan pendekatan ini untuk mengekalkan momentum dan mempromosikan nilai-nilai serta pendekatan pembangunan yang berpaksikan Asia, dan menekankan bahawa pendekatan Barat yang berpandukan demokrasi, hak asasi manusia, dan kelayakan bersyarat hanyalah helah untuk mengekalkan dominasi kuasa Barat.
Xi berharap pendekatan ekonomi dan keselamatan yang tidak bersyarat dari China ini akan menarik negara-negara ASEAN untuk terus memperkasa hubungan dengan Beijing, terutama dalam konteks pergolakan semasa yang dicetuskan oleh tarif Trump.
Dengan menampilkan dirinya sebagai pelindung kepada kestabilan serantau, China juga berusaha untuk mengasingkan AS daripada struktur keselamatan serantau sedia ada, dan memperkuat inisiatifnya sendiri seperti Global Security Initiative (GSI). GSI ini kini menjadi alat diplomatik utama Beijing untuk menyaingi peranan AS dalam keselamatan serantau, termasuk di Laut China Selatan.
Malaysia mesti sentiasa berwaspada dan mempertahankan autonomi strategiknya terutama dalam menghadapi angin kencang baharu dalam ekonomi dan keselamatan, dan tidak menyertai potensi momentum global serta tindak balas China melalui pembalasan tarif dan pembentukan pakatan negara-negara yang mempunyai pendekatan serupa untuk menentang tarif Trump.
Walaupun Malaysia kini sedang merundingkan tarif dengan Washington, adalah penting agar Malaysia tidak dilihat menghantar mesej atau isyarat yang salah dengan terlalu bergantung pada sistem sokongan alternatif, atau dengan menyertai mana-mana mekanisme yang menentang tarif termasuk yang dicadangkan oleh China.
Tindakan sebegitu hanya akan mempercepatkan perangkap ekonomi dan kejatuhan Malaysia, memandangkan kepentingan pasaran AS, eksport, perdagangan, pelaburan teknologi, pelaburan modal dan pemindahan teknologi serta khususnya jaminan keselamatan dan perkongsian pertahanan dengan Washington.
Amerika mempunyai KDNK hampir AS$30 trilion, dengan China jauh di belakang pada AS$18 trilion.
Ini amat ketara memandangkan pada tahun 2024, AS adalah sumber FDI terbesar ASEAN dan rakan dagang kedua terbesar, serta kekal sebagai penyumbang jaminan terbesar dalam mengekalkan kebebasan pelayaran dan keluhuran undang-undang antarabangsa serta laluan perdagangan maritim.
Amerika kekal sebagai pasaran dan ekonomi terbesar dan paling penting di dunia.
Untuk mengimbangi pendekatan kita dan melindungi kepentingan negara serta rantau, Amerika kekal sebagai sumber ekonomi, pasaran, perdagangan dan keselamatan yang paling penting kepada Malaysia dan ASEAN.
Realiti ini akan lebih kukuh apabila dasar pemulihan ekonomi Trump dan inisiatif “Make America Wealthy Again” mencapai kemuncaknya dalam jangka masa terdekat, yang akan terus melebarkan jurang kuasa ekonomi dan ketenteraan antara AS dan pesaing terdekatnya termasuk China.
Penulis adalah Penganalisis Strategi, Keselamatan dan Hubungan Antarabangsa, Universiti Malaya