MUSIM haji bakal tiba. Dalam setiap pelusuk tanah air, detik ini bakal disambut dengan debaran yang sukar digambarkan. Ada yang sedang menyemak semula buku panduan haji, menyusun pakaian ihram, dan membeli barang keperluan seperti botol spray wuduk, kasut tawaf, hingga ke ubat-ubatan. Ada yang melatih diri dengan berjalan kaki setiap pagi, dan membayangkan kesesakan yang bakal ditempohi di Mina dan Arafah. Hati mereka penuh harapan, namun tak kurang juga yang menyimpan resah.
Menunaikan haji bukan hanya sekadar perjalanan rohani, tetapi ianya juga adalah merupakan ujian yang mencabar fizikal dan mental. Tambahan pula, peningkatan jumlah jemaah haji saban tahun menambah kesukaran terutamanya dalam aspek logistik, pergerakan, dan keselamatan sepanjang ibadah berlangsung. Bagi jemaah haji Malaysia, cabaran menunaikan ibadah haji semakin kompleks dengan perubahan persekitaran, pertambahan jumlah jemaah, dan keperluan fizikal yang semakin meningkat.
Oleh itu, penting bagi mereka untuk bersedia mengadaptasi kecerdasan buatan (AI) dalam perjalanan rohani ini bagi memastikan pengalaman yang lebih selesa, selamat, dan bermakna. Bagi jemaah haji Malaysia yang tidak mahir dalam penggunaan teknologi AI, pengalaman haji mereka mungkin akan menjadi lebih mencabar. Antara cabaran yang bakal dihadapi jika tidak menggunakan AI ialah mereka berkemungkinan akan terdedah kepada risiko tersesat di Tanah Suci Mekah dan Madinah.
Tanpa pemahaman tentang aplikasi navigasi seperti Google Maps atau Smart Hajj, mereka mudah tersesat dalam kesesakan jemaah yang besar. Selain risiko tersesat, jemaah haji juga bakal menghadapai kesukaran berkomunikasi. Kebanyakan jemaah dan petugas di Tanah Suci menggunakan bahasa Arab atau Inggeris. Tanpa AI penterjemah seperti Google Translate atau aplikasi AI lain, mereka mungkin menghadapi kesukaran mendapatkan bantuan.
Cabaran lain juga adalah kesukaran mengurus kewangan sepanjang mengerjakan haji, jika mereka tidak biasa menggunakan e-dompet atau perbankan digital. Mereka mungkin bakal terdedah kepada kehilangan wang tunai atau menjadi mangsa penipuan.
Selain itu, bagi jemaah yang mempunyai masalah kesihatan terutamanya warga emas, aplikasi pemantauan kesihatan AI membolehkan mereka untuk mengawal tahap kesihatan mereka. Tanpa akses kepada teknologi ini, mereka mungkin terlepas amaran awal mengenai keletihan atau masalah kesihatan lain. AI juga boleh membantu jemaah dalam tempahan pengangkutan, hotel, dan makanan. Tanpa pengetahuan teknologi ini, jemaah haji Malaysia mungkin menghadapi kesukaran dalam mengurus logistik mereka di Tanah Suci.
Memandangkan penggunaan AI sudah menjadi trend dalam kalangan jemaah haji, amat penting bagi pihak berkepentingan seperti Tabung Haji serta agensi perkkhidmatan haji perlu mengambil langkah proaktif dengan menyediakan program latihan khasnya untuk warga emas bagi membiasakan mereka dengan penggunaan teknologi AI sebelum berangkat. Sesi latihan ini boleh merangkumi cara menggunakan aplikasi haji digital, latihan asas e-dompet dan perbankan digital dan simulasi penggunaan AI untuk mencari lokasi dan bantuan kecemasan.
Pihak keluarga juga perlu memainkan peranan utama dalam membantu jemaah haji terutamanya warga emas memahami dan menggunakan AI sebelum mereka memulakan perjalanan haji. Keluarga dan anak-anak boleh memberikan latihan asas, mengajar cara menggunakan aplikasi mudah, serta memastikan warga emas selesa dengan
teknologi ini sebelum bertolak ke Tanah Suci.
Penggunaan AI dalam pengurusan haji membawa manfaat besar kepada jemaah Malaysia, penyedia perkhidmatan, dan negara dengan meningkatkan kecekapan, keselamatan, serta pengalaman keseluruhan. Bagi penyedia perkhidmatan haji, AI dapat mengoptimumkan jadual perjalanan dan pengurusan penginapan. Dari perspektif negara, AI membolehkan analisis data berskala besar untuk merancang dan mengagihkan sumber dengan lebih cekap, memastikan Malaysia dapat menguruskan ribuan jemaah dengan standard perkhidmatan yang tinggi.
Dengan penerapan AI, Malaysia bukan sahaja dapat memastikan keselesaan dan keselamatan jemaah tetapi juga memantapkan kedudukannya sebagai pelopor global dalam penggunaan teknologi dalam pengurusan ibadah haji, mencerminkan komitmennya terhadap kemajuan teknologi dan kesejahteraan rakyatnya. Teknologi AI bukanlah pengganti keimanan, tetapi ia adalah alat yang dapat membantu jemaah haji menunaikan ibadah dengan lebih selamat, mudah, dan selesa.
Sudah tiba masanya kita melihat AI sebagai rakan perjalanan dalam memenuhi panggilan suci ini. Penggunaan AI dalam persiapan dan pelaksanaan ibadah haji adalah satu keperluan, bukan lagi pilihan. Haji 2025 bukan sahaja menjadi pengalaman ibadah yang lebih lancar tetapi juga satu lonjakan dalam pemodenan pengurusan jemaah Malaysia.
Oleh: Prof Madya Dr. Amran Harun
Fakulti Pengurusan Teknologi dan Perniagaan, Universiti Tun Hussein Onn Malaysia &
Dr Mohd Nazir Mohd Adi
Johor Business School, Universiti Tun Hussein Onn Malaysia