GEORGE TOWN – Pendidikan seks yang holistik dan inklusif perlu diberi perhatian serius dalam sistem pendidikan negara demi kesejahteraan generasi muda, kata Exco Kerajaan Negeri Pulau Pinang Lim Siew Khim.
Beliau turut menyatakan sokongan terhadap saranan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Nancy Shukri yang menggesa agar pendidikan seks di Malaysia diperkukuhkan.
Menurut Siew Khim, isu ini sering timbul saban tahun tetapi jarang dibincangkan secara mendalam kerana masih dianggap tabu dalam masyarakat.
“Namun hakikatnya, ia adalah satu realiti yang perlu diberi perhatian serius. Pendidikan dan kesedaran mengenai isu ini harus dipertingkatkan dalam kalangan anak muda agar mereka lebih memahami risiko serta batas-batas yang perlu dijaga.
“Di era digital masa kini, penyalahgunaan teknologi dan media semakin membimbangkan dan contoh kes melibatkan 38 pelajar yang menjadi mangsa gangguan seksual apabila gambar mereka disunting menggunakan kecerdasan buatan (AI) untuk dijadikan bahan lucah serta insiden terbaharu melibatkan seorang guru sekolah di Kedah.
“Insiden sebegini menunjukkan betapa pentingnya pendidikan seks yang holistik dan inklusif, merangkumi aspek keselamatan serta penghormatan terhadap diri dan orang lain,” katanya dalam kenyataan media.
Tambah Siew Khim, semua pihak harus berhenti melihat pendidikan seks sebagai satu ancaman, sebaliknya, ia harus dianggap sebagai satu langkah pencegahan yang kritikal.
“Pendidikan seks mampu memberikan pendedahan awal kepada pelajar mengenai risiko seperti penderaan seksual, kehamilan remaja, jangkitan penyakit kelamin serta bahaya eksploitasi dalam talian, sekali gus membantu mereka membuat keputusan bijak dan menjaga maruah diri.
“Pendidikan awal mengenai seks juga merupakan satu langkah untuk meningkatkan kesedaran tentang keganasan terhadap wanita.
“Kita percaya dengan pemahaman yang jelas tentang batasan, hak, dan konsep persetujuan (consent), anak muda, terutamanya perempuan akan lebih cakna tentang hak mereka untuk berkata tidak, mempertahankan diri, dan melaporkan sebarang bentuk gangguan atau keganasan,” katanya.
Mengulas lanjut beliau juga menggesa kerajaan supaya mengambil pendekatan yang sensitif terhadap latar belakang budaya tempatan serta menyeluruh dari aspek biologi, sosial, mental dan undang-undang.
“Saya berharap kerajaan akan mengintegrasikan pendidikan seks yang komprehensif ke dalam sistem pendidikan negara.
“Sudah tiba masanya kita melangkah ke hadapan dengan pendekatan yang lebih berani, inklusif dan berasaskan ilmu pengetahuan, demi melindungi dan memperkasakan generasi muda agar mereka mampu membuat keputusan yang bijak dan bertanggungjawab dalam menghadapi cabaran dunia moden,” katanya.
Media sebelum ini melaporkan, Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Nancy Shukri berkata, pendidikan seks di Malaysia perlu diberi perhatian lebih serius dengan pendekatan menyeluruh melibatkan sekolah, ibu bapa dan pelbagai agensi kerajaan.
“Pendidikan seks memang sudah wujud dalam kurikulum sekolah, tetapi kandungannya sangat sedikit dan kurang ditekankan. Ini satu kekurangan yang perlu kita perbaiki segera.
“Perkara itu juga dibincangkan di peringkat tertinggi, termasuk dalam mesyuarat yang dipengerusikan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dengan penglibatan pelbagai kementerian dan agensi kerajaan,” katanya. – MalaysiaGazette