KUALA LUMPUR – Kongres Nasional Parti Keadilan Rakyat (PKR) akan berlangsung di Johor Bahru pada 23, 24 dan 25 Mei ini, dengan Kongres Angkatan Muda Keadilan (AMK) dan Wanita Nasional akan diadakan pada 23 Mei ini.
Setiausaha Agung PKR, Dr. Fuziah Salleh berkata, Majlis Pimpinan Pusat (MPP) juga memutuskan sebilangan perwakilan yang wajib hadir fizikal dalam kalangan Ahli Jawatankuasa (AJK) Cabang-Cabang di Sabah dan Sarawak boleh hadir sebagai perwakilan serta mengundi di pusat undian satelit di Kuching, Sarawak dan Kota Kinabalu, Sabah.
Menurut beliau, ia bagi memberi kemudahan kepada perwakilan di Sabah dan Sarawak yang perlu mengundi secara fizikal untuk mengundi serta mengikuti perjalanan Kongres Nasional 2025 melalui jarak jauh di Pusat Satelit.
“Senarai Perwakilan dari kalangan AJK Cabang dari Sabah dan Sarawak yang akan mengundi secara fizikal di Kongres Nasional akan diumum kemudian,” katanya dalam kenyataan malam ini.
Terdahulu, menurut Fuziah, mesyuarat MPP petang tadi berjalan dengan baik dengan semangat ‘comradeship’ dan setiakawan yang tinggi dalam kalangan ahli MPP yang mana beberapa perkara berhubung isu keanggotaan, disiplin parti, Pemilihan 2025 dan Kongres Nasional 2025 telah dibincangkan.
Menjelaskan lebih lanjut, kata Fuziah, segala persiapan berkenaan Kongres Nasional 2025 sedang berjalan lancar dan semua para perwakilan yang layak akan dimaklumkan dalam masa terdekat.
Ujarnya, Kongres Nasional 2025 juga mengunjurkan kira-kira 10,000 perwakilan akan hadir dan mengundi secara fizikal, manakala lebih 20,000 perwakilan diunjurkan akan mengundi di atas talian.
“Kongres Nasional 2025 akan buat pertama kalinya mengguna pakai konsep ‘proportionate representation’ untuk perwakilan seperti yang telah diluluskan dalam Kongres Khas pada 15 Disember 2024,” katanya.
Sementara itu, tambah Fuziah, mesyuarat MPP petang tadi turut dimaklumkan berkenaan status keanggotaan calon-calon yang telah bertanding pada Pemilihan Keadilan 2025.
Menurutnya, MPP telah membuat keputusan dasar yang mana seseorang anggota PKR setelah menjadi calon pemilihan dan kemudiannya didapati telah menjadi ahli mana-mana parti lain, akan digugurkan keanggotaan mereka serta hilang kelayakan untuk menjadi calon dan terbatal pencalonan mereka.
“Pengumuman berkaitan nama-nama spesifik akan dibuat oleh JPP (Jawatankuasa Pemilihan Parti),” katanya.
Dalam pada itu, tambah beliau, mesyuarat MPP petang tadi berakhir dengan sokongan padu ahli MPP ke atas keputusan bersama yang telah dicapai melalui kepimpinan Presiden, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
“MPP juga menyatakan sokongan serta penghargaan ke atas usaha keras Jawatankuasa Pemilihan Parti 2025, yang diketuai oleh Datuk Seri Dr Zaliha Mustafa,” katanya. – MalaysiaGazette