Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail

KUANTAN – Kerajaan negeri Pahang sehingga kini telah mengutip sejumlah RM1,437,142.90 bayaran penalti tunggakan cukai tanah melalui proses di bawah Seksyen 130 Kanun Tanah Negara.

Menurut Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail, sehingga kini juga terdapat 1,082 hak milik tanah telah dilucuthak oleh Pentadbir Tanah di seluruh negeri Pahang.

“Seramai 838 pemilik tanah pula telah mengemukakan permohonan pembatalan pelucuthakan,” katanya.

Beliau berkata demikian menjawab soalan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) lantikan, Mohd Fadzly Mohd Ramly dalam sesi Pertanyaan-Pertanyaan Lisan Mesyuarat Pertama Penggal keempat DUN Pahang ke-15, di Wisma Sri Pahang, di sini hari ini.

Dalam soalan tambahannya pula, Mohd Fadzly bertanya jika pemilik tanah yang telah dilucuthak itu boleh mengemukakan rayuan kepada kerajaan negeri bagi membantu menampung kos yang diperlukan dalam proses penebusan semula tanah mereka.

Katanya, pemilik tanah dikhuatiri berdepan kesulitan kerana jumlah denda yang boleh dikenakan adalah sehingga enam kali ganda nilai cukai tanah tertunggak oleh mahkamah selain perlu membayar penalti kepada kerajaan negeri.

“Kerajaan negeri Pahang sentiasa mempertimbang rayuan yang dikemukakan oleh pemilik tanah.

“Sebenarnya terdapat dua pilihan tindakan selepas pemilik tanah diberikan Notis Perampasan Tanah (Borang 8A) iaitu boleh dibawa ke Mahkamah atau dibawa kepada Pentadbir Tanah dalam masa tiga bulan.

“Pemilik tanah yang telah dilucuthak juga boleh membuat rayuan kepada kerajaan negeri. Memang benar denda yang akan dikenakan boleh sehingga enam kali ganda, tapi lazimnya kita melihat juga jumlah pendapatannya dan kita beri pertimbangan.

“Tapi dalam rekod saya belum ada lagi yang dikenakan sehingga enam kali ganda,” jelas Wan Rosdy yang juga ADUN Jelai.

Sementara itu, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man (Cheka-Pas) mencelah dan bertanya jumlah kutipan cukai tanah yang dibayar oleh agensi Felda, Felcra dan RISDA dalam tempoh 10 terakhir.

Wan Rosdy bagaimanapun memaklumkan akan memberi makum balas secara bertulis.

Sebagai rekod, tarikh akhir untuk menjelaskan cukai tanah di negeri Pahang adalah pada 31 Mei ini sebelum pemilik tanah dikenakan Notis Tuntutan Tunggakan Sewa (Borang 6A) dibawah Seksyen 97 dan 98 Kanun Tanah Negara. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast