KUALA LUMPUR – Universiti Kuala Lumpur (UniKL) mengorak langkah strategik melebarkan sayap pendidikannya ke Indonesia dengan menawarkan kepakaran dalam bidang Pendidikan Teknikal dan Vokasional (TVET).
Ketua Pegawai Eksekutifnya, Prof Dr Azman Senin berkata, kedudukan geografi yang dekat antara Malaysia dan Indonesia membolehkan pelajar dari Indonesia menyambung pengajian mereka di Malaysia dengan mudah.
UniKL menawarkan pelbagai bidang kepakaran seperti aeroangkasa, automotif, marin, rel, logistik serta tenaga boleh diperbaharui yang relevan dengan industri di kedua-dua negara.
“Industri kita hampir serupa, jadi kita melahirkan graduan dengan kompetensi dan kemahiran yang diperlukan melalui pendekatan ‘teaching factory’,” katanya kepada MalaysiaGazette.
UniKL menjadi institusi pengajian tinggi (IPT) yang menerima laba hasil lawatan rasmi Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi ke Jakarta bermula Ahad lalu.
Dua perjanjian strategik dilakar menerusi pemeteraian tiga Surat Hasrat (LoI) antara UniKL dan Kerajaan Provinsi DKI Jakarta serta Kerajaan Provinsi Sumatera Barat (SUMBAR), yang disaksikan Ahmad Zahid.
Menurut Dr Azman, UniKL kini mempunyai 12 kampus dengan setiap satu menawarkan pengkhususan bidang yang berbeza dan para penuntut dari Indonesia boleh memilih pengajian berdasarkan minat masing-masing.
Katanya, pelebaran perniagaan ke Indonesia merupakan sebahagian daripada usaha UniKL untuk mempelbagaikan sumber pendapatan dalam menghadapi ketidaktentuan ekonomi global.
“Ini langkah pertama kami di Indonesia. Jika ada ruang dan permintaan, kita boleh berbincang untuk membuka operasi sepenuhnya di sini,” katanya.
Dengan populasi seramai 280 juta orang, Indonesia menjadi pasaran utama yang diintai banyak universiti termasuk dari Malaysia dan luar negara.
Mengulas lanjut, Dr Azman menyatakan permintaan terhadap pendidikan tinggi di Indonesia sangat tinggi dan menawarkan potensi besar.
Selain program ijazah sarjana muda dan pascasiswazah, UniKL juga menumpukan kepada penyediaan program peningkatan kemahiran dan kemahiran semula (art-skilling & re-skilling) yang direka khas untuk pekerja industri.
UniKL turut menawarkan program profesional seperti MBA, MBA Keusahawanan dan DBA. Untuk kemudahan pelajar bekerja, mereka juga menyediakan program pembelajaran fleksibel menerusi dalam talian, antaranya Ijazah Sarjana dalam Sains Komputer.
“Para pekerja di Indonesia boleh terus bekerja sambil melanjutkan pengajian melalui sistem pembelajaran dalam talian atau ‘on-cloud learning’ yang kami sediakan,” jelas beliau. – MalaysiaGazette