PUTRAJAYA – Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dipanggil semula oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di sini untuk meneruskan proses rakaman percakapan hari ini.
Ia adalah berhubung pengisytiharan harta yang telah dibuat oleh beliau kepada SPRM di bawah Seksyen 36(1) Akta SPRM 2009.
Hari ini masuk lapan kali Ismail Sabri memberi keterangan kepada SPRM.
Sebelum ini, Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki menyatakan Ahli Parlimen Bera itu akan dipanggil semula untuk proses berkaitan siasatan terhadapnya.
Setakat ini, seramai 33 individu telah dirakam percakapan bagi membantu siasatan kes berkenaan.
Sebelum ini, Perdana Menteri kesembilan itu disiasat berkaitan kes rasuah dan pengubahan wang haram berhubung perbelanjaan dan perolehan dana untuk promosi serta publisiti program Keluarga Malaysia ketika tempoh perkhidmatan beliau dari Ogos 2021 hingga November 2022.
Pada 3 Mac lalu, SPRM memaklumkan Ismail Sabri ialah suspek bagi siasatan kes rasuah serta pengubahan wang haram susulan penemuan wang tunai kira-kira RM170 juta dalam pelbagai mata wang dan 16 kilogram jongkong emas di dalam sebuah safe house hasil serbuan SPRM. – MalaysiaGazette