KUALA LUMPUR – Wakil pengurusan Kuil Sri Mangala Chamundi di Bahau, Ramakrishnan Nair kecewa berhubung kenyataan Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil yang memaklumkan isu permohonan menghentikan penggunaan istilah ‘kuil haram’ tidak dibincangkan dalam Kabinet.
Menurut Ramakrishnan, perkara itu seharusnya diberi perhatian kerana ia menyentuh sensitiviti masyarakat Hindu di negara ini.
“Tindakan pihak Hospital Taiping mengeluarkan surat rasmi bertajuk ‘Aduan Kuil Haram’ bukan sahaja tidak sensitif malah satu bentuk penghinaan terhadap kepercayaan agama kami,” katanya kepada MalaysiaGazette.
Beliau menegaskan, walaupun kewujudan kuil tanpa kelulusan perlu dikawal, penggunaan istilah ‘haram’ langsung tidak wajar kerana membawa konotasi negatif serta mencerminkan kurangnya toleransi agama.
“Sudah tentu kita tidak menyokong sebarang pembinaan tanpa kebenaran, tetapi melabel rumah ibadat sebagai ‘haram’ itu satu penghinaan.
“Bukankah kita sebagai agensi kerajaan sepatutnya menunjukkan contoh dengan menggunakan bahasa yang lebih sopan dan menghormati semua pihak?” soalnya.
Beliau turut mempersoalkan mengapa isu berkenaan tidak diangkat dalam mesyuarat Kabinet walaupun telah dibangkitkan secara rasmi oleh Timbalan Presiden MIC, Datuk Seri M Saravanan menerusi surat kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
“Ini bukan soal politik. Ini soal sensitiviti masyarakat. Kalau isu sebegini pun tidak mendapat tempat dalam agenda Kabinet, ke mana halatuju reformasi yang dilaungkan?” soalnya lagi.
Ramakrishnan juga menambah bahawa kebanyakan kuil Hindu yang kini dipertikai statusnya telah wujud sejak zaman penjajahan British dan Jepun, jauh sebelum penggubalan Akta Tanah Negara 1965. – MalaysiaGazette
ARTIKEL BERKAITAN:
Saravanan gesa PM arah jabatan kerajaan henti guna istilah ‘kuil haram’