Ketua Pengarah Pendidikan Malaysia, Datuk Azman Adnan bercakap kepada wartawan ketika sidang media di Kompleks Kementerian Pendidikan, Putrajaya. Foto HARI ANGGARA, 24 APRIL 2025.

PUTRAJAYA – Keputusan peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2024 merupakan yang terbaik sejak 2013 iaitu ketika syarat wajib bagi mata pelajaran Bahasa Melayu dan Sejarah diperkenalkan untuk layak diberikan sijil.

Menyifatkan pencapaian itu sangat membanggakan, Ketua Pengarah Pendidikan, Datuk Azman Adnan berkata, ia berdasarkan indeks Gred Purata Kebangsaan (GPK) yang semakin mengecil berbanding tahun-tahun sebelum ini.

Menurut beliau, nilai GPK tahun lalu adalah 4.49 mata berbanding 4.60 mata pada 2023, iaitu mengecil sebanyak 0.11 mata.

Secara keseluruhan, jelasnya, seramai 355,933 calon atau 94.0 peratus layak diberikan sijil SPM pada tahun 2024 berbanding 349,297 calon (93.5 peratus) pada tahun 2023, iaitu peningkatan sebanyak 6,636 calon (0.5 peratus).

Sementara itu, katanya, pencapaian calon yang memperoleh keputusan cemerlang gred A+, A dan A- dalam semua mata pelajaran tahun lalu juga bertambah iaitu seramai 14,179 calon atau 3.7 peratus.

Jelasnya, jumlah itu meningkat seramai 11,713 calon atau 3.1 peratus iaitu pertambahan sebanyak 2,466 calon atau 0.6 peratus berbanding tahun lalu.

“Peningkatan pencapaian calon secara keseluruhan ini mencerminkan keberkesanan usaha berterusan KPM dalam menyediakan akses pendidikan yang inklusif dan berkualiti.

“Ini selari dengan komitmen KPM untuk memastikan kesamarataan peluang pendidikan kepada semua calon di seluruh negara.

“KPM juga akan terus melaksanakan pelbagai inisiatif Reformasi Pendidikan ke arah membangun Malaysia MADANI yang progresif dan mampan, demi melahirkan generasi yang holistik, berdaya saing dan berakhlak mulia,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar Laporan Analisis Keputusan Peperiksaan SPM 2024 di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Azman berkata, pencapaian calon di bandar dan luar bandar juga menunjukkan peningkatan berbanding tahun sebelumnya sebanyak 0.11 mata iaitu 4.47 mata pada tahun 2024 berbanding 4.58 mata pada tahun 2023.

Katanya, pencapaian calon di luar bandar juga meningkat sebanyak 0.09 mata iaitu 4.92 mata pada tahun 2024 berbanding 5.01 mata pada tahun 2023.

“Perbezaan jurang pencapaian antara calon di bandar dan luar bandar pada tahun 2024 dan 2023 adalah kecil iaitu sebanyak 0.02 mata,” katanya.

Turut mencatatkan pencapaian membanggakan, ujar beliau, adalah mata pelajaran elektif Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM), Sains Tulen dan Matematik Tambahan yang mana semua mata pelajaran tersebut menunjukkan peningkatan prestasi.

Sebagai contoh, kata beliau, mata pelajaran Kimia mencatatkan peningkatan prestasi yang tertinggi sebanyak 0.37 mata Gred Purata Mata Pelajaran (GPMP) iaitu 4.52 mata pada tahun 2024 berbanding 4.89 mata pada tahun 2023.

Selain itu, ujarnya, bagi mata pelajaran elektif STEM (Sains Gunaan dan Teknologi), sebanyak 11 daripada 12 mata pelajaran turut menunjukkan peningkatan prestasi. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here