Nurul Fasha menunjukkan keputusan 8A yang diperolehnya dalam keputusan peperiksaan SPM 2024 di SMK Sultan Ismail, Johor Bahru hari ini.

JOHOR BAHRU – “Saya memang mahu keputusan cemerlang sebab nak banggakan kedua ibu bapa saya,” ujar Nurul Fasha Izzwanie Zahari, 18, mendapatkan keputusan cemerlang dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2024 yang diumumkan hari ini.

Dia yang memperoleh keputusan 8A 1B, nekadĀ  untuk belajar bersungguh-sungguh kerana mahu membalas jasa bapa dan ibunya yang banyak berkorban untuk dirinya.

Menurut Nurul Fasha, bapanya, Sarjan Zahari Samin, 52, yang juga anggota Pasukan Simpanan Persekutuan (FRU) begitu menitikberatkan pelajaran dan banyak mendorongnya untuk berjaya.

“Ayah saya banyak berkorban dan tidak mengabaikan keperluan pendidikan anak walaupun sibuk dengan kerjaya sebagai seorang anggota polis. Ini menjadi semangat dan azam untuk belajar bersungguh-sungguh.

“Ayah setiap hari menguruskan persekolahan saya termasuk menghantar ke tuisyen, walaupun sentiasa sibuk dengan kerjayanya.

“Saya lihat pengorbanan ayah yang tidak pernah abaikan soal persekolahan kami empat beradik sejak dari kecil lagi, itu jadi semangat untuk saya capai keputusan cemerlang untuk balas jasa ayah,” katanya ditemui di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sultan Ismail di sini hari ini.

Katanya, bapa dan ibunya yang juga suri rumah, Nur Hida Abi Shafian, 47, sentiasa memberi sokongan dalam apa juga bidang yang ingin diceburi dan tidak memberi sebarang tekanan.

Selain ibu bapa, katanya, kejayaan abang dan kakaknya juga menjadi pendorong buat dirinya.

“Ayah seorang yang tegas tetapi penyayang. Ibu dan ayah tidak pernah beri tekanan pada kami empat beradik. Mereka sentiasa sokong apa kami lakukan.

“Abang kini belajar di peringkat ijazah sarjana muda dan kakak di peringkat diploma. Saya akan belajar bersungguh-sungguh untuk mengikut jejak langkah mereka,” katanya.

Dia yang bercita-cita menjadi saintis berkata, kekangan masa menjadi cabaran utamanya.

“Ada beberapa peperiksaan ‘back to back’, jadi saya rasa masa lah yang menjadi cabaran utama. Saya rasa tak cukup masa belajar,” katanya.- MalaysiaGazette

 

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here