KERANCAKAN kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Ayer Kuning sudah hampir ke penghujung dan dua ‘gergasi’ yang bertanding kini semakin aktif mengatur gerak bagi memastikan calon mereka berjaya menakluki kawasan tersebut.
Penganalisis politik Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Profesor Madya Dr Mazlan Ali berpandangan, calon Barisan Nasional (BN) dilihat mengatur gerakan yang lebih tersusun dan agresif berbanding Perikatan Nasional (PN), terutamanya dari sudut mobilisasi jentera dan pendekatan kempen.
Menurutnya, BN yang mewakili gabungan Kerajaan Perpaduan turut mendapat dukungan jentera besar daripada parti komponen Pakatan Harapan (PH) seperti DAP dan PKR selain dibantu komponennya seperti MCA dan MIC.
Katanya, situasi ini memberikan kelebihan kepada BN untuk menyantuni pelbagai segmen pengundi, termasuk komuniti bukan Melayu yang menjadi tumpuan utama PH manakala UMNO pula mengekalkan fokus terhadap pengundi Melayu di kawasan-kawasan tradisinya.
“DUN Ayer Kuning merupakan kubu kuat UMNO sejak 1986, dan walaupun tewas tipis dalam PRU15 (Pilihan Raya Umum Ke-15) lalu, parti itu masih mengekalkan pengaruh yang signifikan.
“Dengan rekod tersebut, UMNO menunjukkan keupayaan untuk mengenal pasti pengundi setia atau ‘pengundi putih’ dan memobilisasi mereka secara berkesan.
“Setakat ini, BN lebih cenderung menjalankan kempen secara tertumpu melalui pertemuan-pertemuan kecil bersama komuniti tempatan, pendekatan yang lebih peribadi dan mesra pengundi.
“Sebaliknya, PN yang diwakili oleh PAS masih mengekalkan strategi tradisional menerusi ceramah umum berskala besar,” katanya ketika dihubungi Malaysia Gazette (MG) Perak.
Beliau berpendapat, PN dilihat menghadapi cabaran besar untuk menembusi kawasan pengundi bukan Melayu, terutama pengundi Cina dan India.
“Kelemahan ini disebabkan oleh kurangnya jentera bukan Melayu dalam PN, terutamanya dari parti Gerakan yang tidak menonjol berbanding kekuatan pelbagai kaum yang dimiliki BN melalui komponen-parti dalam Kerajaan Perpaduan.

“Bagaimanapun, dalam ruang siber, PN menunjukkan kekuatan tersendiri. Di media sosial, naratif yang dibawa PN, antaranya isu-isu berkaitan kaum dan agama yang berupaya menarik sokongan pengundi muda, khususnya Melayu.
“Kandungan dari pempengaruh serta aktivis media sosial pro-pembangkang dilihat memainkan peranan dalam membentuk persepsi dan emosi dalam kalangan pengundi muda.
“Sekiranya UMNO berjaya menggerakkan sekurang-kurangnya 80 peratus daripada pengundi putih mereka, ditambah dengan undi bukan Melayu hasil kerjasama dengan PH, BN berpotensi meraih kemenangan dengan majoriti yang lebih selesa.
“Namun, pengaruh media sosial yang dikuasai PN tidak boleh diketepikan, khususnya dalam mempengaruhi pengundi atas pagar dan belia,“ jelasnya.

PRK DUN Ayer Kuning kini memasuki fasa kritikal dengan berbaki kurang seminggu sebelum hari pengundian pada 26 April, kedua-dua gabungan dijangka menggandakan usaha mereka dalam perebutan sokongan terakhir daripada pengundi pelbagai kaum.
Kekosongan kerusi berkenaan berlaku susulan kematian penyandangnya, Ishsam Shahruddin, 59, selepas rebah ketika menyertai perlawanan bola sepak di Pulau Pinang pada 22 Februari lalu.
PRK kali ini menyaksikan pertembungan tiga penjuru melibatkan Dr Mohamad Yusri Bakir dari BN, Abdul Muhaimin Malek sebagai calon PN, dan Parti Sosialis Malaysia (PSM) mencalonkan Bawani KS. – MG Perak
Artikel Berkaitan:
Tiga penjuru di PRK Ayer Kuning
Sentimen Dan Isu Politik: Apa Kata Pengundi Ayer Kuning #SKOPMG