KUALA LUMPUR – Calon yang gagal atau mendapat gred G dalam semua mata pelajaran dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2024 meningkat sebanyak 322 calon iaitu 1,789 calon berbanding 1,467 calon tahun 2023.
Ketua Pengarah Pendidikan, Datuk Azman Adnan berkata, antara faktor awal yang dikesan menyumbang kepada kegagalan calon itu adalah disebabkan tidak dapat memberi fokus ketika proses pembelajaran.
Jelasnya, faktor itu sebahagian besar melibatkan calon SPM yang tinggal di kawasan bandar yang terpaksa bekerja terutama pada waktu malam.

Selain itu, kata beliau, kegagalan dalam semua mata pelajaran tersebut juga berlaku dalam kalangan calon SPM yang menghadapi masalah literasi dan numerasi yang tidak diatasi di peringkat lebih awal.
Dalam masa sama isu berkaitan kekeluargaan turut membawa kesan kepada pencapaian calon SPM berkenaan menyebabkan mereka gagal semua mata pelajaran.
“Kementerian Pendidikan (KPM) sedang menilai pendekatan bagi kumpulan ini bagi peperiksaan SPM 2025 termasuk memperkukuhkan program pemulihan berkaitan dengan keupayaan pelajar-pelajar kita.
“Selain itu, kita juga sedang memperluaskan inisiatif sokongan akademik yang bersasar dengan kerjasama pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan komuniti untuk membantu pelajar khususnya yang berisiko tinggi dan memberi intervensi lanjutan.
“Ini penting supaya kita dapat bersedia lebih awal bagi menangani kemungkinan berlakunya isu-isu sepert ini pada masa depan khususnya dalam kalangan murid yang memerlukan sokongan khas,” katanya pada sidang akhbar Laporan Analisis Keputusan Peperiksaan SPM 2024 di sini hari ini.
Mengulas mengenai isu calon tidak hadir SPM 2024 iaitu seramai 6,246 orang, Azman berkata, faktor sudah bekerja dan tinggal di luar kawasan sekolah mereka menjadi penyumbang utama calon tidak menduduki SPM 2024 iaitu sebanyak 57.8 peratus.
Sebanyak 35.5 peratus calon tidak hadir SPM 2024 disebabkan berdepan pelbagai masalah keluarga, manakala 4.7 peratus daripada mereka mempunyai masalah kesihatan dengan selebihnya disebabkan pelbagai faktor lain.
Sehubungan itu, jelasnya, KPM akan terus melakukan pelbagai intervensi dalam memastikan calon SPM tahun ini dan tahun-tahun akan datang kekal di sekolah dan menduduki peperiksaan tersebut.
“Daripada segi intervensi ini sudah banyak yang telah kita lakukan antaranya jika pelajar-pelajar berdepan masalah ekonomi, banyak bantuan dan kemudahan yang disediakan di peringkat KPM termasuk penyediaan asrama dan sebagainya.
“Tetapi jika melihat kepada trend mutakhir terutama tiga tahun kebelakangan ini, ada penurunan yang signifikan berhubung calon yang tidak hadir menduduki SPM.
“Saya kira ini adalah petanda yang baik dan kita akan terus lipatgandakan usaha supaya kita dapat mencapai sasaran sifar calon yang tidak hadir menduduki SPM,” katanya.
Secara perbandingan, calon tidak hadir SPM 2024 iaitu seramai 6,246 menunjukkan penurunan 0.7 peratus berbanding tahun 2023 iaitu seramai 8,676. – MalaysiaGazette