Friday, May 16, 2025
Home Seni Hidup Ziana, Anuar Zain, Ernie Zakri dan Syamel bersatu dalam konsert

Ziana, Anuar Zain, Ernie Zakri dan Syamel bersatu dalam konsert

konsert Empat Live In Kuala Lumpur 2025 yang akan berlangsung pada 18 Oktober depan di Mega Star Arena.

KUALA LUMPUR – Empat figura industri muzik tanah air yang memiliki pertalian darah akan bekerjasama buat julung kalinya dalam sebuah konsert bersama.

Lebih mengujakan, mereka dan bersatu dalam momen terindah yang bakal terlakar dalam sejarah industri muzik tempatan serta Nusantara dalam Konsert empat Live In Kuala Lumpur 2025.

Konsert itu merupakan kolaborasi pertama adik-beradik Ziana Zain dan Anuar Zain bersama anak saudara, Ernie Zakri serta suami, Syamel.

Bakal berlangsung pada 18 Oktober 2025 di Mega Star Arena Kuala Lumpur, empat Live In Kuala Lumpur 2025 bukan sekadar sebuah konsert tetapi perlambangan cinta, kasih dan sayang serta silaturrahim empat bakat terhebat Malaysia, kata satu kenyataan.

Bagi Anuar, konsert itu  adalah sebuah projek yang sangat mengujakan kerana tidak ada salah seorang pun daripada mereka pernah terfikir pada akhirnya takdir membawa dirinya dan kakaknya, Ziana serta anak buah, Ernie dan suaminya, Syamel  terlibat dalam industri yang sama sebagai penghibur dan bakal menghiburkan anda di atas satu pentas.

“Sebenarnya konsert ini telah lama dirancang, boleh dikatakan sejak dua tiga tahun yang lalu. Namun melihatkan jadual kerja yang padat serta komitmen kesemua penyanyi yang terlibat, pihak penganjur dan pengurusan perlu mencari masa yang tepat dan sesuai untuk melaksanakan konsert ini.

“Konsert empat Live In Kuala Lumpur 2025 ini bukan tentang kami tapi tentang ikatan kekeluargaan, bakat yang diraikan dan cara kami menghargai sokongan peminat daripada semua generasi terhadap karya-karya yang pernah dan bakal dilahirkan.

“Kami dengan rendah hati berharap agar semua peminat dapat menikmati empat Live In Kuala Lumpur 2025 dengan ‘semangat cinta dan kasih sayang’ yang besar untuk satu sama lain,” ujar Anuar.

Bagi Ernie Zakri, dia teruja namun gementar untuk beraksi dalam konsert berskala besar bersama dua ikon legenda tanah air itu.

“Saya menangis selepas dilamar merealisasikan empat Live In Kuala Lumpur 2025 bersama ibu dan bapa saudara saya yang selama ini sangat saya kagumi dan membesar melihat bagaimana mereka berusaha keras untuk berjaya.

“Konsert empat Live In Kuala Lumpur 2025 adalah sebuah impian saya dari sejak lama lagi dan bakal menjadi realiti tidak lama lagi,” ujar Ernie.

Konsert anjuran Anuar Zain Network itu akan mendapat sentuhan Jennifer Thompson sebagai pengarah konsert manakala Sze Wan pula sebagai pengarah muzik.

Tiket-tiket berharga RM288 (Bronze), RM388 (Silver), RM488 (Gold), RM688 (Platinum), RM888 (Diamond), RM1,088 (VIP) dan RM2,088 (Royal Twin Seat – dua tiket) sudah boleh didapati menerusi https://www.ticket2u.com.my/empatkl mulai hari ini.

Istimewa buat golongan kelainan upaya (OKU), anda boleh membuat pembelian menerusi talian khas hotline +6011-1190 0518. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast