KUALA LUMPUR – Seorang anggota polis peronda (MPV) putus sebahagian telinga kiri akibat digigit seorag lelaki warga Nigeria yang bertindak agresif ketika ditahan di Jalan Kepong, Metro Prima, di sini, pagi tadi.
Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Rusdi Mohd Isa berkata, kejadian berlaku pada jam 10.03 pagi ketika mangsa berpangkat koperal menerima panggilan kecemasan mengenai lelaki warga asing menganggu sebuah klinik.
“Siasatan mendapati, suspek berusia 38 tahun itu membuat kacau ganggu di klinik berkenaan dan telah ditahan oleh anggota Balai Polis Kepong.
“Insiden itu berlaku ketika anggota membawa masuk suspek ke dalam MPV di tempat duduk belakang dengan tangan bergari dan tiba-tiba suspek mengigit telinga kiri mangsa hingga terputus,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Tambah beliau, akibat kejadian itu mangsa segera dikejarkan ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) untuk menerima rawatan, manakala susek berjaya ditahan di tempat kejadian.
Susulan itu, kes disiasat mengikut Seksyen 325 dan Seksyen 353 Kanun Keseksaan serta Seksyen 15(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 kerana kesalahan tinggal lebih masa di negara ini. – MalaysiaGazette