Bekas Hakim Mahkamah Sesyen, Azmil Muntapha Abas hadir mengikuti prosiding rayuan pendakwa raya terhadap hukuman kerana menerima rasuah wang tunai berjumlah RM5,000 di Istana Kehakiman, Putrajaya. Foto MUHAIMIN MARWAN, 25 APRIL 2025.

PUTRAJAYA – Bekas Hakim Mahkamah Sesyen, Azmil Muntapha Abas diperintah menjalani hukuman penjara enam bulan serta merta kerana menerima rasuah RM5,000 berkaitan prosiding jenayah yang dikendalikannya tujuh tahun lalu.

Panel tiga hakim diketuai oleh Datuk Mohd. Nazlan Mohd. Ghazali memutuskan demikian secara sebulat suara selepas membenarkan rayuan akhir pendakwa raya terhadap hukuman.

Sehubungan itu, beliau yang bersidang bersama-sama Datuk Mohamed Zaini Mazlan dan Datuk Wan Ahmad Farid Wan Salleh mengeluarkan waran komital agar Azmil Muntapha selaku responden dihantar ke penjara serta merta.

Dia yang merupakan koroner dalam prosiding inkues menyiasat kematian Teoh Beng Hock iaitu Setiausaha Politik Exco Selangor sewaktu dalam tahanan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menjalani hukuman di Penjara Kajang.

Koram berkenaan mengembalikan keputusan Mahkamah Sesyen pada 2022 yang menjatuhkan hukuman penjara enam bulan dan denda RM25,000 atau penjara enam bulan lagi jika gagal membayar denda.

Sehubungan itu, panel berkenaan mengetepikan keputusan Mahkamah Tinggi Shah Alam tahun lalu yang menjatuhkan hukuman penjara sehari dan denda RM12,000 atas kesalahan tersebut.

Barisan pasukan pendakwaan yang terlibat dalam rayuan kes bekas Hakim Mahkamah Sesyen, Azmil Muntapha Abas di Mahkamah Rayuan, Putrajaya. 25 APRIL 2025.

Ketika membacakan keputusannya, Hakim Mohd. Nazlan berkata, kesalahan yang dilakukan oleh Azmil Muntapha adalah serius lebih-lebih lagi ia berkait rapat dengan tanggungjawabnya melaksanakan tanggungjawab kehakiman.

Ujar beliau, kesalahan rasuah mengganggu gugat pertumbuhan ekonomi, menafikan hak rakyat mendapat perkhidmatan yang cekap dan melemahkan struktur demoktrasi dan undang-undang negara.

“Lebih serius lagi, dalam kes ini jenayah dilakukan oleh penjawat awam, bukan sebarang orang tetapi seorang hakim Mahkamah Sesyen.

“Ini seharusnya menghancurkan amanah dan tanggungjawab serta menghakis kepercayaan rakyat terhadap integriti institusi kehakiman dan melemahkan sistem pentadbiran keadilan negara,” ujar beliau.

Kata Hakim Mohd. Nazlan, hakim Mahkamah Sesyen telah membuat pertimbangan yang sewajarnya terhadap faktor mitigasi dan pemberatan serta prinsip undang-undang sebelum menjatuhkan hukuman.

Sebaliknya, kata beliau, wujud kekhilafan dalam keputusan hakim Mahkamah Tinggi yang menggantikan hukuman penjara enam bulan kepada hukuman penjara sehari.

“Hukuman yang dijatuhkan oleh Mahkamah Sesyen tidak keterlaluan, berkadaran dan adil terhadap Azmil Muntapha,” ujar beliau.

Pada prosiding itu, Timbalan-Timbalan Pendakwa Raya
Farah Ezlin Yusop Khan, Dr. Ifa Sirrhu Samsudin, Maziah Mohaide, Siti Amirah Muhammad Ali dan Elyza Amira Habeeb Rahman mewakili pendakwaan selaku perayu.

Azmil Muntapha diwakili barisan peguam bela iaitu bekas Hakim Mahkamah Rayuan, Datuk Mohtarudin Baki, Datuk Ishak Mohd. Yusoff, Hamdan Hamzah dan Mona Lubon.

Pada 19 Oktober 2022, Azmil Muntapha dihukum penjara enam bulan dan didenda RM25,000 oleh Mahkamah Sesyen Shah Alam selepas didapati bersalah atas satu pertuduhan menerima rasuah wang tunai berjumlah RM5,000 berhubung prosiding mahkamah.

Dia didakwa sebagai hakim Mahkamah Sesyen memperoleh wang tunai RM5,000, tanpa suatu balasan pada pukul 8.22 malam yang diketahui mempunyai hubungan dalam suatu prosiding berkaitan dengannya iaitu mengendalikan kes jenayah bagi enam Orang Kena Tuduh (OKT).

Enam OKT tersebut ialah Chin Yat Soong, Yap Chiew Tat, Chin See Shak, Pang Kooi Fook, Yap Swee Ming dan Chin Chee Keong, yang masing-masing melakukan kesalahan di bawah Subseksyen 9 (1) Akta Rumah Judi Terbuka 1953 (Akta 289) dan Azmil Muntapha telah menjatuhkan hukuman denda terhadap kesemua mereka.

Azmil Muntapha didakwa melakukan perbuatan tersebut di Maybank Setia Alam 2, Shah Alam pada 10 Mei 2018 dan didakwa mengikut Seksyen 165 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga dua tahun atau denda atau kedua-duanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here