Peguam hak asasi, N. Surendran bersama peguam (LFL), Zaid Malek dan pelakon yang juga pempengaruh terkenal, Rafidah Ibrahim bergambar selepas sidang media megenai isu pengambilan tanah dan rumah di Kampung Sungai Baru oleh Kerajaan Persekutuan ketika di 8 Avenue, Petaling Jaya. Foto MOHD ADZLAN, 25 APRIL 2025.

PETALING JAYA – Pengambilan tanah di Kampung Sungai Baru oleh Kerajaan Persekutuan didakwa tidak sah apabila satu dokumen rasmi kerajaan menunjukkan kawasan itu masih berstatus tanah rizab Melayu.

Dakwaan itu dibuat oleh peguam dan aktivis hak asasi, N. Surendran daripada Lawyers for Liberty (LFL).

Menurutnya, siasatan dan semakan yang dibuat oleh Jawatankuasa Penduduk Kampung Sungai Baru mendapati kawasan tersebut tergolong sebagai Malay Agricultural Settlement (MAS) yang diwartakan sebagai rizab Melayu sejak tahun 1932 melalui Warta Kerajaan No 1550.

“Kami memiliki dokumen rasmi dan peta kerajaan yang jelas menyatakan Kampung Sungai Baru terletak dalam kawasan ‘Malay Agricultural Settlement’. 

“Warta ini masih berkuat kuasa dan tidak pernah dibatalkan secara sah oleh mana-mana pihak berkuasa negeri atau Yang di-Pertuan Agong,” katanya dalam sidang media yang turut dihadiri Pengerusi dan Ahli Jawatankuasa Hak Penduduk Kg Sungai Baru di pejabat LFL di sini hari ini.

Dakwa Surendran, jika status rizab itu masih berkuatkuasa maka segala proses pengambilan tanah di bawah Akta Pengambilan Tanah 1960 adalah tidak sah dan perlu dibatalkan serta-merta.

“Kami menyifatkan perkara ini sebagai satu pelanggaran serius terhadap hak pemilik asal tanah. Akta Pengambilan Tanah tidak boleh digunakan sesuka hati ke atas tanah rizab yang tidak pernah dibatalkan statusnya secara rasmi,” tegas beliau.

Surendran turut memetik keputusan Mahkamah Persekutuan pada tahun 2007 yang menyatakan bahawa status rizab Melayu kekal sah walaupun tanah tersebut telah diambil untuk pembangunan melainkan jika dibatalkan melalui proses yang sah di sisi undang-undang.

Beliau mendakwa, Kerajaan Persekutuan telah gagal menjalankan siasatan terperinci berhubung status sebenar tanah sebelum memulakan proses pengambilan, malah sehingga kini tidak memberi sebarang maklum balas terhadap pendedahan awam yang telah dibuat sejak Disember 2024.

“Ini bukan hanya soal pampasan, tetapi soal hak dan kelangsungan warisan tanah orang Melayu di tengah ibu kota.

“Kami mendesak kerajaan menjalankan siasatan rasmi di bawah peruntukan Kanun Tanah Negara dan mengambil tindakan segera untuk membetulkan ketidakadilan ini,” katanya lagi.

Kampung Sungai Baru yang terletak berhampiran Jambatan Saloma dan KLCC kini sedang melalui proses pembangunan semula. Namun, sebahagian besar penduduk mendakwa mereka diusir tanpa rundingan adil, manakala pampasan yang ditawarkan tidak setimpal dengan nilai pasaran sebenar kawasan tersebut.

Projek pembangunan semula Kampung Sungai Baru melibatkan rumah flat dan teres menimbulkan polemik susulan tuntutan kumpulan penduduk asal terdiri daripada golongan minoriti yang tidak berpuas hati dengan pampasan yang diperoleh.

Sebelum ini, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Dr Zaliha Mustafa memberitahu Parlimen, usaha sama di antara pemilik dan pemaju di Kampung Sungai Baru, Kampung Baru di sini adalah berdasarkan rundingan yang dipersetujui bersama tanpa paksaan, tekanan atau desakan. -MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here