KUALA LUMPUR – Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said akan mewakili kerajaan Malaysia memberikan kenyataan secara lisan pada sesi pendengaran awam berhubung isu pendudukan Israel di Palestin, Isnin ini.
Azalina menerusi hantaran di laman Facebook memaklumkan Malaysia akan terlibat dalam sesi berkenaan yang diadakan di Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) The Hague, Belanda.
“Terima kasih Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Menteri Luar Datuk Seri Mohamad Hasan atas amanah untuk mewakili Malaysia dan pembentangan isu undang-undang antarabangsa di ICJ,” katanya yang turut menzahirkan rasa bangga melihat Jalur Gemilang berkibar di The Hague, Belanda.
Ahli Parlimen Pengerang itu turut menyeru rakyat Malaysia untuk mendoakan penduduk Palestin.
Israel menyambung semula serangan ketenteraannya ke atas Semenanjung Gaza pada 18 Mac selepas menghentikan gencatan senjata dan perjanjian pertukaran tahanan yang dilaksanakan sejak Januari.
Sejak Oktober 2023, hampir 51,300 rakyat Palestin terbunuh di wilayah itu, majoritinya wanita dan kanak-kanak. – Bernama