Perintah reman ke atas suspek berusia 27 tahun dikeluarkan Majistret Ayer Keroh Melaka hari ini kerana disyaki mencederakan isterinya menggunakan pedang samurai dan ugut bunuh dua minggu lalu.

MELAKA – Seorang pengawal keselamatan direman empat hari oleh Mahkamah Majistret Ayer Keroh di sini hari ini kerana disyaki mencederakan isterinya menggunakan pedang samurai dan ugut bunuh dua minggu lalu.

Kejadian dikatakan berpunca apabila lelaki itu menuduh isterinya curang setelah terjumpa aplikasi mencari kenalan baru di telefon bimbit mangsa berusia 19 tahun.

Perintah reman ke atas suspek berusia 27 tahun itu dikeluarkan Majistret N Sivashangari bermula hari ini sehingga 28 April ini.

Ia bagi bagi membolehkan polis menjalankan siasatan mengikut Seksyen 323 dan Seksyen 506 Kanun Keseksaan kerana mendatangkan kecederaan dan ugutan jenayah.

Menurut sumber, kejadian didakwa berlaku kira-kira jam 9 malam 12 April lalu ketika pengadu yang juga isterinya berada di rumah keluarganya di Krubong.

“Ketika itu, suaminya memeriksa telefon mangsa dan terjumpa aplikasi mencari kenalan baru membuatkan dia berang dan menuduh isterinya itu ada lelaki lain.

“Wanita itu bagaimanapun menafikannya membuatkan suaminya mengambil pedang samurai panjang 0.5 meter dari dalam almari bilik dan mengugut untuk bunuh isterinya itu supaya mengaku,” katanya.

Tambahnya, lelaki itu yang bekerja sebagai pengawal keselamatan kemudian memukul pengadu menggunakan belakang pedang samurai di bahagian lengan kiri mengakibatkan terdapat kesan merah dan lebam.

Tidak berakhir di situ, pergaduhan berlarutan sehingga 21 April lalu apabila suspek terus mendesak isterinya itu supaya mengaku telah berlaku curang sebelum mencekik leher pengadu dengan kuat dan menumbuk mukanya apabila mangsa masih menafikannya.

“Semalam, ketika wanita itu berada di rumah mentua di Tanjung Minyak, suspek masih mendesak pengadu untuk mengaku di hadapan keluarganya sambil mengeluarkan ugutan bunuh.

“Pengadu yang berasa takut kemudian terus membuat laporan di Balai Polis Tanjung Minyak semalam kerana bimbang keselamatan dirinya,” tambahnya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here