Antara 144 bungkusan plastik lutsinar mengandungi ketulan disyaki bunga ganja dengan berat keseluruhan 75.51 (Kg) dirampas JSJN Bukit Aman. Foto PDRM.

KUALA LUMPUR – Sindiket pengedaran dadah antarabangsa ke Eropah berjaya dipatahkan Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman dengan merampas dadah yang dianggarkan bernilai RM2.64 juta semalam.

Pemangku Pengarah JSJN Bukit Aman, Deputi Komisioner Mat Zaini@Mohd Salahuddin Che Ali berkata, pihaknya turut menahan dua lelaki yang bertindak sebagai dalang utama atau master mind pengedaran dadah ke luar negara.

Kedua-dua suspek iaitu warga tempatan dan warga China berusia 34 serta 38 tahun ditahan hasil maklumat risikan JSJN dalam beberapa siri serbuan sekitar Lembah Klang.

“Tangkapan pertama dilakukan sekitar pukul 5.25 pagi di sebuah kedai kopi di Sepang, Selangor kemudian pada pukul 6.15 pagi, suspek kedua dicekup di sebuah rumah di Kota Warisan dalam daerah sama.

“Seterusnya sekitar pukul 9.35 pagi, JSJN turut melakukan pemeriksaan di sebuah rumah sewa di Bukit Changgang, Banting dan menemui 144 bungkusan plastik lut sinar mengandungi ketulan disyaki bunga ganja dengan berat keseluruhan 75.51 kilogram (kg),” katanya dalam kenyataan hari ini.

Dua lelaki ditahan bertindak sebagai dalang utama atau ‘master mind’ pengedaran dadah ke luar negara. Foto PDRM

Mat Zaini berkata, dadah yang dirampas dianggarkan bernilai RM2.64 juta di pasaran gelap dan turut disita pelbagai jenis mata wang bernilai RM25,327 yang menjadikan jumlah keseluruhan adalah RM2.67 juta.

Beliau juga memaklumkan nilai dadah yang dirampas itu boleh merosakkan sehinga 151,000 orang yang terlibat dengan penyalahgunaan bahan terlarang itu.

“Siasatan mendapati mereka menggunakan rumah sewa atau rumah inap dengan kadar sewaan RM180 sebagai stor simpanan dadah sebelum diedarkan ke pasaran Eropah dan sindiket ini dipercayai mula aktif sejak awal Januari lalu.

“Hasil ujian saringan air kencing ke atas kedua-dua suspek didapati bebas daripada pengaruh dadah malah tiada sebarang jenayah lampau direkodkan terhadap mereka,” ujarnya.

Mat Zaini memaklumkan, kedua-dua suspek kini ditahan bagi membantu siasatan lanjut di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 dan polis giat mengesan individu yang masih bebas bagi memastikan sindiket itu lumpuh sepenuhnya.

Sehubungan itu, beliau meminta orang ramai untuk menyalurkan sebarang maklumat berkaitan aktiviti tersebut melalui Hotline JSJN di talian 012-208 7222. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here