fb Hannah Thomas - Greens Candidate for Grayndler

KUALA LUMPUR – Anak perempuan bekas peguam negara Tan Sri Tommy Thomas, Hannah Thomas, akan bertanding menentang Perdana Menteri Anthony Albanese di kawasan Grayndler pada Pilihan Raya Persekutuan Australia, 3 Mei ini.

Beliau bertanding atas tiket parti The Greens.

Dalam satu artikel di laman web The Greens, Hannah, seorang peguam, aktivis dan penulis, berkata latar belakang beliau di Malaysia banyak membentuk pandangan hidupnya.

“Saya bertuah membesar di Malaysia dalam sebuah keluarga yang mempunyai sejarah panjang memperjuangkan nilai progresif, yang penglibatan politik dan aktivisme sentiasa digalakkan. Jadi, mungkin sudah menjadi ketentuan bahawa saya akhirnya menyertai The Greens setelah Australia menjadi rumah saya.

“Peristiwa yang menjadi pencetus adalah ketika pentadbiran (Tony) Abbott dan menyaksikan kerjasama Liberal-Labor dalam kekejaman terhadap pelarian dan pencari suaka. The Greens adalah satu-satunya parti yang menentang kekejaman dan perkauman itu, dan keadaan itu masih berterusan hingga hari ini,” katanya.

Ketika ditanya mengapa beliau memilih untuk bertanding di Grayndler dan mencabar perdana menteri, Hannah menyenaraikan tiga sebab utama, dengan yang paling ketara ialah kekejaman berterusan Israel terhadap Gaza dan rakyatnya.

“Pertama, sukar untuk menerima hakikat bahawa pembunuhan beramai-ramai dapat disaksikan secara langsung tanpa tindakan sewajarnya daripada wakil rakyat kawasan berkenaan, iaitu perdana menteri sendiri.

“Terdapat sangat sedikit individu di dunia ini yang mempunyai kuasa untuk mengekang mesin perang Israel ketika ia membunuh rakyat Palestin secara beramai-ramai, tetapi ahli parlimen tempatan kita adalah seorang daripadanya. Malangnya, beliau gagal bertindak dan perlu dipertanggungjawabkan,” katanya.

Dalam satu temu bual bersama The Feed SBS, Hannah yang merupakan calon termuda dalam kalangan lima pencabar Albanese, berkata beliau lebih memahami isu-isu yang dihadapi oleh generasi muda, termasuk berkaitan penyewaan, pembelian rumah dan perancangan keluarga.

Beliau berkata walaupun ahli politik kini digesa menggunakan media sosial untuk menarik perhatian pengundi muda, apa yang sepatutnya dilakukan adalah “menggubal lebih banyak dasar yang benar-benar membantu golongan muda”.

Hannah turut berkongsi perasaannya mencabar perdana menteri di Grayndler.

“Ia sesuatu yang gila untuk dilakukan, tetapi pada masa sama sangat mengujakan.

“Saya berpindah ke negara ini pada 2009 sebagai pelajar antarabangsa. Jika pada masa itu seseorang memberitahu saya bahawa saya akan bertanding menentang perdana menteri negara ini, sudah tentu saya tidak akan mempercayainya,” katanya.

Pilihan Raya Persekutuan 3 Mei ini akan memilih 150 Ahli Parlimen dan 40 daripada 76 ahli Dewan Senat. – BERNAMA

 

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here