Pathmanathan (kanan) mengiringi Kon Yeow meninjau kerja-kerja menaik taraf infrastruktur bekalan air di Kampung Teluk di sini, hari ini.

GEORGE TOWN – Sebanyak 88 peratus atau 300,185 daripada 341,708 pengguna yang terjejas dengan gangguan bekalan air berjadual (SWSI) menerima bekalan semula pada pukul 10 malam ini dan sepenuhnya pada pagi esok.

Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang (PBAPP), Datuk Ir. K. Pathmanathan berkata, pihaknya komited memulihkan bekalan air kepada semua pengguna yang terjejas mengikut jadual, meskipun berlaku kelewatan dalam menyiapkan Saluran Paip Menyeberangi Sungai Perai (SP-RCP).

“Ketua Menteri, Chow Kon Yeow telah mengarahkan PBAPP untuk kekal berusaha mencapai sasaran yang ditetapkan. Mengikut jadual, sebanyak 88 peratus atau 300,185 daripada 341,708 pengguna yang terjejas disasarkan menerima bekalan semula pada jam 10 malam ini.

“Manakala pemulihan penuh 100 peratus di kawasan kejiranan hujung paip agihan dan kawasan tinggi di SPS serta DBD dijangka dicapai pada jam 10 pagi esok,” katanya dalam kenyataan media hari ini.

Tambah Kon Yeow, setakat ini, seramai 228,915 pengguna atau 70 peratus daripada jumlah keseluruhan pengguna di negeri ini yang terjejas sudah menerima semula bekalan air.

“Infrastruktur pengepaman air terawat di kawasan perkhidmatan Loji Rawatan Air (LRA) Sungai Dua telah dinaik taraf bagi membolehkan lebih banyak air terawat dipam dengan selamat dalam tempoh 24 jam akan datang.

“PBAPP memohon maaf kepada semua pengguna yang terjejas atas kelewatan ini dan kita akan terus bekerja keras sehingga bekalan pulih sepenuhnya seperti yang dirancang,” katanya.

Terdahulu, Kon Yeow memaklumkan kesemua 23 projek menaik taraf infrastruktur bekalan air di bawah Pelan Gangguan Bekalan Air Berjadual (SWSI) telah siap sepenuhnya.

Katanya, kesemua projek itu siap pada pukul 1.48 tengah hari tadi. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here