Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan dan Kesihatan negeri Mansor Zakaria

YAN – Dua daripada 39 individu yang mengalami beberapa simptom penyakit berjangkit selepas menyertai aktiviti di sebuah kem di Yan, masih dirawat di Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH) di Sungai Petani.

Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan dan Kesihatan negeri Mansor Zakaria berkata mereka terdiri daripada seorang pelajar lelaki berusia 14 tahun dan pemandu bas lelaki berusia 30-an yang membawa kumpulan pelajar dan kakitangan sebuah sekolah menengah itu ke kem tersebut.

“Enam lagi mangsa dirawat sebagai pesakit luar dan telah dibenarkan keluar (pulang),” katanya selepas melawat lokasi kejadian bersama pegawai Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) petang tadi.

Semalam, media melaporkan 39 individu merangkumi pelajar tingkatan dua dan kakitangan sebuah sekolah menengah di daerah Kuala Muda mendakwa mengalami demam, batuk dan ruam pada badan setelah menjalani latihan di sebuah kem di Yan.

Menurut Mansor, mangsa yang masih dirawat di HSAH berada dalam keadaan stabil walaupun pelajar terbabit dirawat di unit rawatan rapi (ICU) sebelum ini.

Beliau berkata siasatan masih dijalankan bagi mengenal pasti punca sebenar jangkitan itu termasuk pengambilan sampel air dan darah namun keputusan penuh akan mengambil sedikit masa.

“Kita tidak boleh membuat sebarang andaian sehingga keputusan makmal diperolehi. Kita faham kegusaran orang ramai tetapi kes ini tidak seteruk yang ditularkan di media sosial serta meminta orang ramai agar tidak mempercayai berita tidak sahih dan menunggu pengesahan daripada Kementerian Kesihatan (KKM).

“Sebagai langkah berjaga-jaga, JKN telah mengarahkan kem berkenaan ditutup sementara serta menjalankan pemeriksaan di beberapa kem berdekatan yang lain bagi memastikan keselamatan peserta dijaga,” katanya.

Difahamkan, kira-kira 100 pelajar yang menghadiri aktiviti di sebuah kem di Yan bermula Khamis hingga Sabtu lepas mengalami simptom penyakit berjangkit.- BERNAMA

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here