Ustaz Azhar Idrus
Ustaz Azhar Idrus

KUALA LUMPUR – Orang Islam adalah dilarang daripada mendoakan keampunan atau keamanan kepada orang kafir yang telah meninggal dunia dalam keadaan tidak beriman.

Pendakwah bebas, Azhar Idrus berkata, hukum bagi perlakuan tersebut adalah haram meskipun si mati merupakan ahli keluarganya.

Bagaimanapun apa yang dibolehkan adalah mendoakan orang kafir yang masih hidup supaya diberi hidayah atau seumpamanya.

“Ada pun jika dia meninggal dalam kekufuran maka tidak dibenarkan sama sekali mendoakan keampunan atau kesejahteraan untuknya,” katanya menerusi hantaran di Facebook hari ini.

Azhar atau lebih dikenali dengan panggilan Ustaz Azhar Idrus turut memetik firman Allah SWT dalam Surah At-Taubah, ayat 113 yang menegaskan larangan tersebut selain mengulas pandangan ulama terkenal seperti Imam Al-Maraghi dan Imam Nawawi.

Beliau berkata, Imam Al-Maraghi menjelaskan, adalah haram berdoa minta keampunan dan rahmat kepada orang yang mati dalam kekufuran, termasuk menyebut istilah seperti ‘yang diampunkan’ atau ‘yang dirahmati’ kepada mereka.

Katanya lagi, Imam Nawawi dalam kitab Al-Majmu’ pula menegaskan, sembahyang ke atas mayat orang kafir dan berdoa untuk keampunannya adalah haram berdasarkan nas al-Quran dan ijmak ulama.

Justeru, mendoakan keampunan terhadap orang kafir yang meninggal dunia dalam keadaan tidak beriman adalah haram, katanya.

Semalam tular di media sosial, bekas Presiden Jakarta, Joko Widodo atau dikenali Jokowi seolah-olah berdoa ketika memberi penghormatan kepada mendiang Paus Francis di Vatican City. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here