KUANTAN – Hubungan kerjasama antara Pahang dan Jordan terus diperkemas bagi memanfaatkan kepada pelajar di negeri ini dalam hal ehwal akademik.
Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, delegasi kerajaan negeri berkunjung negara itu bermula hari ini dengan misi meningkatkan kerjasama antara dua buah negara.
”Saya memulakan tugasan rasmi ke Jordan bersama delegasi dari Pahang dengan mengadakan kunjungan hormat ke atas Menteri Pengajian Tinggi dan Kajian Saintifik Jordan, Prof. Dr. Azmi Mahmoud Mahafzah di pejabat beliau di Amman.

”Alhamdulillah, pelbagai perkara telah dibincangkan khususnya berkaitan peluang kerjasama dalam bidang pendidikan dua hala antara Negeri Pahang dan Jordan,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Wan Rosdy merakamkan setinggi-tinggi penghargaan atas kesudian pihak beliau menerima kunjungan tersebut.
”Insya-Allah, semoga pertemuan ini membuka lebih banyak ruang manfaat, khususnya dalam usaha menghantar lebih ramai anak-anak Pahang melanjutkan pengajian ke Jordan,” tambahnya.
Hadir sama Exco Pertanian, Industri Asas Tani, Bioteknologi Dan Pendidikan, Datuk Seri Mohd Soffi Abd. Razak dan Exco Hal Ehwal Agama Islam, Kemajuan Desa Dan Hal Ehwal Orang Asli, Datuk Seri Syed Ibrahim Syed Ahmad.
Lawatan kerja selama enam hari di negara Arab itu bermula bermula hari ini sehingga 2 Mei nanti. – MalaysiaGazette