KUANTAN – Berpantang maut sebelum ajal!
Seorang pemancing berdepan saat cemas apabila kayak yang dinaikinya terbalik di perairan berhampiran Kuantan Port Consortium (KPC) dalam satu insiden petang semalam.
Pengarah Maritim Negeri Pahang, Laksamana Pertama Maritim Mazlan Mat Rejab berkata, Pusat Operasi (PUSOP) Maritim Negeri Pahang menerima panggilan kecemasan daripada Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Gebeng pukul 6.25 petang melaporkan kejadian seorang mangsa jatuh laut kerana kayaknya dimasuki air dan terbalik.
Mangsa, Mohamad Saiful Hafizie Mohd Kamaruzaman, 32, sempat menghubungi pihak berkuasa melalui telefon dan memaklumkan beliau tidak mampu memulihkan kembali kedudukan kayak tersebut.
“Bagi menyelamatkan diri, mangsa telah memanjat sebuah suar navigasi (beacon) berhampiran untuk menunggu bantuan.
Bertindak pantas atas laporan tersebut, Sea Bot Kapal Maritim (KM) PEKAN digerakkan ke lokasi kejadian pada pukul 7.15 malam bersama anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) yang menggunakan Bot Pilot Pelabuhan, katanya menerusi kenyataan hari ini.
Mangsa berjaya diselamatkan pada pukul 7.45 malam dan tiba dengan selamat di jeti KPC pada pukul 8.05 malam.
Maritim Malaysia menasihatkan para pemancing kayak khususnya sekitar perairan Kuantan agar mengutamakan keselamatan dengan tidak keluar secara bersendirian dan memastikan langkah-langkah keselamatan diambil sebelum memulakan aktiviti.
Sebarang aduan dan maklumat boleh disalurkan ke Pusat Operasi Maritim Negeri Pahang di talian 09-571 7345 atau melalui talian bantuan kecemasan MERS 999. – MalaysiaGazette