Ketua Polis Johor, Datuk M Kumar.

JOHOR BAHRU – Polis Johor menahan bekas suami kepada pempengaruh media sosial yang dikenali sebagai ‘Kim Seri’ bagi siasatan kes menipu mangsa dengan menawarkan pakej pelancongan ke Korea Selatan.

Ketua Polis Johor Datuk M Kumar berkata warga tempatan berusia 41 tahun itu merupakan pemilik akaun syarikat Cikgu Kimchi Trading yang menggunakan syarikat berkenaan untuk menerima pembayaran daripada mangsa.

Beliau berkata tangkapan dilakukan pada 21 April lepas dan lelaki itu masih ditahan untuk siasatan lanjut bagi lapan lagi aduan di negeri ini bagi kes yang sama.

“Lapan kertas siasatan telah dibuka terhadap akaun terlibat membabitkan Johor Bahru Selatan, Kota Tinggi, Seri Alam, Iskandar Puteri, Muar dan Kluang serta akan dikemukakan kepada Timbalan Pendakwaraya untuk selanjutnya.

“Kes disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana kesalahan tipu. Polis Johor turut mendapati suspek juga terlibat dengan modus operandi yang sama di beberapa kontinjen (negeri) lain,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Sebelum ini, tular di media sosial mengenai beberapa individu didakwa menjadi mangsa penipuan agensi pelancongan milik pempengaruh tempatan yang menetap di Korea Selatan dengan jumlah kerugian hampir RM500,000.

Kim Seri atau nama sebenarnya Seri Azlina Mohamed Sani telah membuat permohonan maaf secara terbuka dan berjanji akan memulangkan wang pelanggan yang terjejas.- BERNAMA

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here