KUALA LUMPUR – Pemasangan Automated External Defibrillators (AEDs) pada kemudahan awam perlu dianggap sebagai keutamaan negara yang mendesak.
Ia berikutan peranti berkenaan memainkan peranan penting dalam meningkatkan kadar kelangsungan hidup semasa berdepan situasi kecemasan melibatkan jantung.
Pengerusi Perikatan Komuniti Selamat, Tan Sri Lee Lam Thye berkata, jantung berhenti mengejut atau sudden cardiac arrest (SCA) adalah pembunuh senyap yang boleh menyerang sesiapa sahaja pada bila-bila masa sama ada di pusat beli-belah, tempat kerja, kemudahan sukan atau pengangkutan awam.

“Namun apabila AED digunakan dalam beberapa minit pertama, kadar kelangsungan hidup dapat ditingkatkan hingga 70 peratus, justeru AED haruslah mudah diakses oleh orang awam, sama seperti alat pemadam api.
“AED seharusnya menjadi kelengkapan wajib di semua kemudahan awam termasuk bangunan kerajaan, hab pengangkutan, pusat beli-belah, sekolah, kompleks sukan dan tempat kerja.
“Sama seperti keperluan pintu keluar kecemasan dan alat pemadan api, AED perlu dijadikan langkah keselamatan yang wajib,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Bagaimanapun beliau berkata, kerajaan perlu memperkenalkan peraturan yang memastikan AED dipasang dan diselenggara dengan baik menggunakan dengan papan tanda jelas bagi menunjukkan lokasinya.
Selain itu petugas keselamatan dan pekerja di kemudahan berkenaan perlu dilengkapkan dengan latihan resusitasi kardiopulmonari atau bantuan pernafasan kecemasan (CPR) dan AED bagi memaksimumkan kecekapan mereka ketika berhadapan dengan sesuatu kecemasan.
Tambah beliau, beberapa negara termasuk Jepun, Australia dan United Kingdom telah memperkenalkan undang-undang yang memerlukan AED dipasang di kawasan awam dan Malaysia sepatutnya mengikut langkah berkenaan.
Menurut Lam Thye, kerajaan harus memainkan peranan utama dalam memperluas akses AED menerusi program pembiayaan, geran dan perkongsian dengan organisasi swasta serta bekerjasama dengan pihak berkuasa tempatan bagi memetakan kawasan berisiko tinggi dan memastikan AED ditempatkan secara strategik di lokasi yang paling diperlukan.
“Walaupun AED penting, ia bukan murah. Harga sebuah AED boleh mencecah antara RM6,000 hingga RM25,000 bergantung pada ciri-ciri yang ada selain melibatkan kos penyelenggaraan.
“AED memerlukan pertukaran bateri dan pad setiap tiga hingga lima tahun bergantung pada model. Oleh itu, saya mencadangkan satu inisiatif pengecualian cukai atau subsidi bagi menempatkan AED di kawasan awam dan penetapan harga siling untuk barangan guna habis, seperti bateri dan pad AED,” jelasnya.
Pada masa sama, Lam Thye turut menekankan keperluan mewujudkan dan meningkatkan kesedaran awam.
Beliau berkata, kempen pendidikan perlu disasarkan kepada semua lapisan masyarakat dan latihan asas CPR serta AED harus dimasukkan dalam sukatan pelajaran sekolah supaya orang ramai lebih bersedia bertindak balas ketika kecemasan. – MalaysiaGazette